'Saya pergi ambil ubat, bila kembali ibu sudah meninggal dunia'

Iklan
Ibu Dr Ziad Shehada dilaporkan meninggal dunia susulan serangan berterusan rejim Israel ke atas Gaza.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ibu kepada Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada dilapor meninggal dunia susulan serangan berterusan rejim Israel ke atas Gaza.

Perkara itu disampaikan sendiri oleh Ziad menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Ibu sangat ketakutan, dia mengalami ketakutan melampau dan kekeliruan mental.

"Dia dibawa ke hospital, namun hospital itu penuh dengan orang cedera dan ditinggalkan di wad selama seminggu kerana tidak cukup ruang di pelbagai wad," katanya.

Iklan

Ziad memaklumkan, beliau telah membawa ibunya keluar dari hospital berkenaan dan meneruskan rawatan di kem pelarian.

Menurutnya, wanita itu semakin tenat dan dikejarkan ke hospital Syuhada' Al-Aqsa di Deir al-Balah.

Iklan

"Kawasan hospital sangat bahaya, quadcopter dan dron tentera menembak ke arah bangunan, doktor dan pesakit.

"Ajaibnya, saya terselamat daripada tembakan itu. Tiada ruang kosong di unit rawatan rapi, saya ambil ubat yang tinggal dan apabila kembali, saya dapati dia sudah meninggal dunia.

"Saya bawa jenazah ke hospital, kemudian ke bilik mayat kerana kami tidak boleh mengebumikannya pada waktu malam ekoran keadaan yang serius," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi jenazah ibunya selamat dikebumikan dengan kehadiran beberapa orang susulan tanah perkuburan turut menjadi sasaran Zionis.