MACHANG - Seorang pelajar terpaksa menggalas tanggungjawab menguruskan ibunya yang terlantar sakit kanser paru-paru tahap empat sebelum pergi ke sekolah.
Nurul Faizatul Akmal Shukri, 16, yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Samad memberitahu, dia akan menyiapkan segala keperluan seawal jam 4 pagi sebelum meninggalkan ibunya, Habsah Ismail, 54, di rumah untuk ke sekolah.
Anak sulung dari dua beradik itu berkata, dia berat hati meninggalkan ibunya seorang di rumah sementara menunggu ibu saudaranya datang menemani seketika, namun terpaksa demi menuntut ilmu.
"Risau memang risau, tapi apakan daya, saya tidak mampu buat apa-apa. Saya masih ingat pesan ibu, belajar rajin-rajin, jangan jadi macam dia. Nanti susah.
"Demi pesanan itulah saya gagahi kaki untuk melangkah meninggalkannya di rumah setiap kali ke sekolah," katanya yang memperoleh 5A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) baru - baru ini.
Nurul Faizatul Akmal berkata, sejak disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat bulan lalu, ibunya hilang punca pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian dan keperluan persekolahan dia dua beradik.
Dia berkata, ibunya yang berpisah dengan suami lebih 10 tahun lalu sebelum ini mengambil upah bekerja di sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya di Kampung Galang di sini.
"Pada awal Oktober, mulanya ibu hanya sakit kaki dan lenguh-lenguh badan menyebabkan dia sering kali ambil cuti sakit dan tidak dapat bekerja.
"Namun selepas dimasukkan ke hospital, ibu sudah tidak mampu bangun sendiri lagi. Keadaan makin teruk dan akhir bulan lepas, doktor beritahu yang ibu ada kanser," katanya.
Nurul Faizatul Akmal berkata, sejak tidak mampu bangun dan menguruskan diri, ibunya terpaksa memakai lampin pakai buang dan diuruskan sepenuhnya oleh dia dan adik, Nurul Suhana Shukri, 13 tahun.
Katanya, keperluan lampin pakai buang Habsah melibatkan kos sebanyak RM200 sebulan dan susu pula RM150 sebulan.
"Buat masa sekarang ini ibu masih boleh makan makanan biasa. Tapi hanya dengan kuantiti yang sangat sikit. Sebab itu saya terpaksa beli susu supaya sekurang-kurangnya dia ada tenaga.
"Sebelum ini, ibu pernah mengasuh anak orang. Jadi keluarga merekalah yang banyak bantu saya untuk beli lampin dan keperluan dapur sekarang termasuklah juga dengan pakaian sekolah kami berdua.
"Selain itu, turut membantu ialah mak dan ayah saudara yang tinggal berdekatan. Rumah yang saya duduk ini pun rumah tumpang milik bapa saudara yang kini berada di Pahang. Kami tiada rumah sendiri," katanya.
Dia berkata, walaupun rumah didiaminya itu serba kekurangan, namun mereka sekeluarga tetap tabah untuk meneruskan kehidupan memandangkan pendapatan ibunya RM500 sebulan sebelum ini.
"Sekarang ini ibu tidak boleh bercakap macam dulu. Hanya sepatah -sepatah sahaja itu pun jarang.
"Saya sedih setiap kali terpaksa mendukung ibu untuk ke bahagian belakang rumah dan mandikan dia. Saya tahu dia sakit tapi dia tidak mampu untuk luahkan semuanya," katanya.
Mana-mana pihak yang mahu menghulurkan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun 0301341100007381 iaitu akaun Bank Simpanan Nasional milik Habsah.