IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam proses menambah baru peranti penguatkuasaan pengurusan pintar (SmED) tahun ini bagi tujuan penguatkuasaan yang lebih efektif.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Aedy Fadly Ramli berkata, proses itu dilakukan secara berperingkat di seluruh negara sebagai menyokong inisiatif pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).
"Memang dalam perancangan tahun ini, kita membuat persediaan mengganti dan menambah peralatan baru untuk penguatkuasaan pemeriksaan lesen.
"Di peringkat JPJ kita gunakan SmED untuk menyemak maklumat secara dalam talian, jadi kita akan ganti peralatan-peralatan lama ini dan beli baru," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan cetakan slip pembaharuan LMM di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
Aedy Fadly berkata, berdasarkan kajian dan analisa statistik sepanjang tahun lalu, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik kenderaan yang memilih digitalisasi semakin meningkat.
Katanya, hasil tinjauan pelaksanaan slip pembaharuan LMM di semua kaunter cawangan JPJ juga berjalan lancar memperlihatkan orang awam yang dahulu memilih lesen fizikal sudah mula menerima bentuk baharu digital.
"Setakat ini, penggunaan slip pembaharuan LMM telah dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, Selangor dan terbaru di Perak.
"Saya berharap orang awam dapat memanfaatkan inisiatif ini untuk bersama-sama menjayakan pendigitalan JPJ 2025," katanya.
Bermula Februari tahun lalu, orang ramai tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing, tetapi boleh menggunakan mod paparan digital iaitu Lesen Kenderaan Motor digital (e-LKM).
Selain itu, LMM digital (e-LMM) juga boleh digunakan dalam bentuk mod paparan digital.