JERANTUT - Pertandingan memancing ikan liar atau Mengail Joran Sebaur di Kampung Kuala Sat dekat sini baru-baru ini berjaya meraih perhatian pengunjung dengan keunikan yang ditampilkan 30 peserta wanita yang mengambil bahagian.
Mereka hadir dengan menutup kepala menggunakan kain, membawa beg mengkuang, berkain batik dan sebatang kail yang diperbuat daripada pelepah salak sepanjang lima hingga tujuh meter.
Biarpun dalam keadaan hujan, ia tidak menghalang peserta kekal bersemangat untuk memancing dalam pertandingan tersebut.
Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah berkata, pertandingan tersebut antara aktiviti yang dijalankan sempena acara tahunan Karnival Komuniti Kuala Sat.
Menurutnya, ia juga menjadi antara aktiviti tradisi setiap kali musim tengkujuh bagi penduduk Ulu Tembeling yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling sekali gus turut menjadi tarikan pengunjung luar.
"Mereka tidak menghiraukan hujan lebat dan bersemangat menunggung umpan mengena, malah penonton yang berdiri di tepi sungai turut basah kuyup setelah leka menyaksikan suasana pertandingan yang jarang dilihat di tempat lain," katanya.
Tambahnya, jika bernasib baik, peserta berpeluang membawa pulang ikan liar seperti lampam, kerai malahan pernah ada peserta meraih kelah sebelum ini.
Jelas beliau, pemenang akan dikira berat ikan liar yang diperoleh dalam tempoh sejam dan menjadi hak milik peserta untuk dibawa pulang.
"Selain pertandingan ini, karnival ini juga turut dimeriahkan dengan pengisian seperti kenduri sekampung, sukaneka, pertandingan sepak takraw, sepakan penalti tutup mata (lelaki dan wanita) dan beberapa acara lain.
"Kita maklum program ini diadakan ketika musim tengkujuh dan hujan lebat berasaskan tradisi orang-orang tua terdahulu untuk mengeratkan silaturahim," ujarnya.
Sementara itu, juara pertandingan, Masadiah Abdul Hatim, 47, mengakui tidak menyangka penyertaannya kali ini membawa tuah apabila berjaya menaikkan pelbagi jenis ikan.
"Saya dapat ikan baung, rong dan kerai dan cadangnya nak masak gulai masam tempoyak, salah satu masakan popular penduduk di sini," ujarnya.