Suami isteri parah angkara lori tukar lorong mengejut

Iklan
Tangkap layar video tular kemalangan membabitkan motosikal ditunggangi suami isteri dengan sebuah lori yang menukar laluan secara tiba-tiba. Gambar kecil: Mohd Hasni

TANJUNG MALIM - Tindakan pemandu lori menukar laluan secara tiba-tiba mengakibatkan suami isteri cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 363.8 Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungkai, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, Mohamad Nor Ekhsan Md Puat, 31, menunggang motosikal kuasa tinggi jenis Yamaha MT cedera di kepala dan patah tangan manakala isteri, Tengku Balkis Tengku Zainal Rasid, 31, luka di muka.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kota Damansara menuju ke Ipoh.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, lori yang berada di lorong kiri telah mengubah laluan ke kanan dipercayai untuk memotong kenderaan di hadapan.

Iklan

"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Nahas berkenaan tular selepas satu rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta dikongsi di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 26 saat itu, pelanggaran mengakibatkan suami isteri dan motosikal ditunggangi terpelanting ke laluan kanan jalan.

Sebuah lagi motosikal yang datang dari arah sama sempat mengelak daripada melanggar mangsa.