Kerajaan tidak terima permohonan halang tayangan Man on the Run

Iklan
Fahmi. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau belum menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung permohonan untuk menghalang tayangan dokumentari Man on the Run melalui platform penstriman di negara ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, beliau difahamkan permohonan itu telah dibangkitkan di mahkamah oleh peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Iklan
Iklan

"Sekiranya ada, kita akan melalui proses itu tapi pada waktu ini, saya belum terima," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Pada 8 Januari lepas, Najib melalui peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menggesa Kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan segera dengan mengarahkan perkhidmatan penstriman Netflix mengeluarkan Man on the Run daripada tayangan di negara ini.

Iklan

Fahmi juga berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan perkara membabitkan Lembaga Pengampunan termasuk kes Najib.

Beliau berkata, Kabinet tidak boleh mendahului proses itu kerana ia adalah kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

"Jadi, kita serahkan kepada Lembaga Pengampunan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Lembaga Pengampunan dijadual memutuskan permohonan Najib pada akhir bulan ini.

Permohonan bekas Perdana Menteri yang sedang dipenjarakan itu akan didengar dalam sesi yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan Januari.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Bernama