21 warga Bangladesh mangsa pemerdagangan orang diselamatkan

Iklan
Sebahagian warga Bangladesh dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang diselamatkan imigresen dalam satu operasi di Klang, Selangor pada Isnin.

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menyelamatkan 21 lelaki warga Bangladesh yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang di Klang, Selangor pada Isnin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil maklumat awam dan risikan dijalankan, kesemua mangsa berusia 20 hingga 40 tahun diselamatkan jam 3.30 petang di sebuah premis rumah kedai yang dijadikan tempat tinggal.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh majikan yang menguruskan kemasukan ke Malaysia.

"Mereka juga diabaikan tanpa sebarang pekerjaan selama lebih kurang enam bulan.

Iklan

"Ada antara mereka yang telah dikeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah dan bekerja, namun tidak diberikan upah atau gaji.

"Selain itu, pasport mereka turut dipegang dan disimpan oleh majikan tanpa kerelaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, JIM telah mengenal pasti syarikat serta majikan terlibat dan memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Tegas beliau, pihaknya akan sentiasa memandang serius isu tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat atau majikan terlibat.

Jelasnya, perbuatan mengabaikan pekerja yang boleh menjurus kepada elemen eksploitasi, buruh paksa dan pemerdagangan orang dalam kalangan pekerja serta warga asing di Malaysia adalah satu kesalahan.

Menurut beliau, sabit kesalahan, mana-mana individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau penjara seumur hidup dan dihukum sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

"Orang ramai dinasihatkan menyalurkan maklumat kepada JIM atau menghubungi talian 03-8000 8000 sekiranya terdapat pekerja warga asing dieksploitasi oleh ejen pekerjaan atau majikan.

"Tindakan undang-undang tegas akan diambil bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negara ini," ujarnya.