SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia masih belum bersedia untuk mereformasikan sistem pilihan raya negara dengan menggantikan sistem sedia ada iaitu ‘First Past The Post’ (FPTP) kepada sistem Perwakilan Berkadar (PR) seperti dicadangkan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC).
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, belum sampai masanya sistem tersebut dibawa ke Malaysia kerana negara masih belum mencapai kemajuan demokrasi seperti negara lain yang mengamalkan sistem itu.
Jelasnya, kebanyakan negara Komanwel juga masih menggunakan sistem tersebut bahkan sejak lebih 60 tahun lepas, proses pilihan raya di Malaysia berjalan lancar dengan menggunakan sistem FPTP.
"Saya rasa ada 10 perkara lain yang perlu diberi perhatian dalam proses demokrasi negara kita. Ini (mengubah sistem) kita tinggal akhir sekali, bila dah selesai semua barulah kita pergi kepada ubah sistem.
"Sistem yang kita pakai lebih 60 tahun usianya, dah 14 kali pilihan raya, berjalan lancar dan tiada masalah. Sistem yang ada sekarang memang adil kerana rakyat memilih wakil rakyat untuk mewakili kawasannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengambil contoh beberapa negara membangun seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Filipina yang mengamalkan sistem PR, Wan Ahmad berkata, keadaan di negara berkenaan tidaklah begitu baik meskipun mengamalkan sistem pilihan raya itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Reformasi sistem pilihan raya boleh cetus ketegangan kaum
Jelasnya, sistem PR membuatkan pemimpin cenderung untuk mempertahankan parti dan pemimpinnya kerana dengan cara itu, ia membuka ruang dan peluang untuk mereka kembali dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.
"Ia berbeza dengan sistem FPTP di mana wakil rakyat perlu menjaga pengundi di kawasan mereka. Jika tidak berbuat demikian, kemungkinan mereka ditolak pada masa akan datang,” katanya.
Wan Ahmad berpendapat adalah lebih baik tumpuan diberikan dalam memperbaiki sistem demokrasi dalam Malaysia.
"Jawatankuasa berkenaan perlu melihat bagaimana parti yang bertanding ini mempunyai kesamarataan ketika bertanding, sama rata gelanggang, sama rata penggunaan media. Kesamarataan masih belum nampak,” katanya.
Sebelum ini, ERC di bawah Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Pengerusinya menyatakan mereka akan mengusulkan kepada kerajaan untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada iaitu FPTP kepada sistem PR untuk kerusi Parlimen.