PUTRAJAYA - Tiga ahli keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin direkod keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, proses rekod keterangan ini juga bagi mengaitkan siasatan terhadap Daim.
"SPRM telah memanggil Toh Puan Nai'mah Abdul Khalid iaitu isteri Tun Daim serta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan hari ini (Rabu).
"SPRM ingin juga menjelaskan bahawa satu notis telah diserahkan kepada Abdul Daim di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga telah diserahkan kepada ahli keluarga beliau," katanya pada Rabu.
Tambahnya, sebagaimana yang telah dinyatakan pada kenyataan media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Daim ini telah bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora.
Jelasnya, siasatan terhadap aset milik Tun Daim ini juga masih terus berjalan.
Sebelum itu, Nai'mah yang ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya mendakwa suaminya dianiayai disebabkan kejayaan beliau sebagai ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum menyertai kerajaan.
Toh Puan Nai'mah mendakwa, kejayaan Tun Daim kini dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.
Tambah Naimah, kini sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa Tun Daim seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya.