SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mahu kerajaan meneruskan usaha yang dirintis oleh Dr Maszlee Malik dalam meningkatkan tahap pendidikan di negara ini.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, guru-guru di sekolah masih memerlukan penyelesaian yang antaranya termasuk mengurangkan bebanan kerja guru dan kemelut isu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pendidikan untuk semua khasnya golongan orang kurang upaya (OKU)
Iklan
Iklan
Menurutnya, Maszlee juga melaksanakan usaha membaik pulih sekolah-sekolah daif di Malaysia, mengurangkan amalan korupsi, menyediakan jalinan internet yang cepat untuk kegunaan guru-guru dan program sarapan pagi.
"Namun malangnya, negara kita telah ditentukan dengan hala tuju politik dan bukan pendidikan yang sebenar.
"Pihak NUTP amat berharap Dr Mahathir Mohamad dapat mempertimbangkan serta mengambil kira kesemua perkara yang telah diutarakan agar dapat menjaga institusi pendidikan negara seterusnya Malaysia sentiasa terpelihara dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Aminuddin turut meluahkan rasa dukacita atas keputusan Maszlee yang meletakkan jawatannya kerana beliau telah memperlihatkan kesungguhan untuk memperbaiki sistem pendidikan negara.
"Pihak NUTP telah melihat kesungguhan beliau sebagai seorang akademik untuk memperbaiki dan menambah baik sistem pendidikan negara kita yang merangkumi seramai lima juta pelajar, 450,000 orang guru dan 150,000 orang staf sokongan di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.