SHAH ALAM - Polis digesa memberi tumpuan penuh menyiasat kes serangan bom botol atau 'molotov cocktail' di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham kerana ia bukan sahaja melibatkan kemusnahan harta benda tetapi mengancam nyawa beliau dan keluarganya.
Pensyarah Universiti UCSI, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, serangan ke atas rumah hingga bahagian garaj kereta dan tiga kereta milik Pengerusi DAP Perak itu terbakar mungkin sememangnya diarahkan kepada Koo Ham secara peribadi.
"Serangan ini sama ada satu perbuatan vandlisme atau bermotifkan perkauman atau agama.
"Ia kerana tiada rumah lain atau kereta milik orang lain diserang, maka ini mungkin serangan awal dan terarah kepada Koo Ham secara peribadi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada awal pagi hari ini, rumah Koo Ham dilontar dengan bom botol ketika beliau dan isterinya dilaporkan sedang tidur.
Mereka hanya tersedar apabila dikejutkan oleh pasangan yang lalu di depan rumahnya yang membunyikan loceng.
Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 345 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan khainat dengan api.
Ekoran itu, Koo Ham dilaporkan berkata, beliau mengesyaki kejadian kebakaran terbabit disebabkan kenyataan media mengenai cadangannya menyentuh hal ehwal agama Islam sebelum ini.
Alasan tersebut diberikan kerana sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat selama 33 tahun, tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu terhadapnya.
Mengulas lanjut, Mohd Tajuddin menggesa rakyat Malaysia segera menghantar mesej menentang perbuatan jenayah itu kepada pelaku dan pihak yang mengarahkan serangan berkenaan.
"Kita rakyat Malaysia juga perlu menghantar mesej bahawa serangan ke atas Koo Ham dan keluarganya adalah umpama serangan ke atas semua rakyat Malaysia yang tidak melakukan apa-apa kesalahan," ujarnya.
Tegasnya, seluruh rakyat perlu berdiri bersama bagi memenangi perjuangan menentang rukun negara dan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan maruah, kebebasan dan masa depan negara sebagai asas kewujudan Malaysia.
"Kita juga mesti membantu Koo Ham yang alami kerugian akibat insiden ini dan jika dibuat kutipan derma oleh sesetengah pihak, saya akan jadi orang pertama menghulur bantuan," katanya.