PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mungkin sudah mula pening kepala untuk mencatur kesebelasan utama pasukan untuk aksi pertama Kumpulan E Piala Asia menentang Jordan pada 16 Januari ini.
Menurutnya, setiap pemain layak untuk berada dalam kesebelasan utama selepas memperagakan aksi berkualiti ketika mengikat pasukan di kedudukan ke-91 dunia, Syria 2-2 dalam aksi persahabatan pada Selasa.
Iklan
Iklan
Dalam perlawanan itu, Pan-gon memberikan semua pemain minit permainan untuk menilai kemampuan pemain dan corak taktikal yang mahu digunakannya.
"Semua pemain bersaing dengan cukup baik dan saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh mereka. Sesiapa sahaja boleh berada dalam kesebelasan utama.
"Ia adalah kelebihan yang berjaya kami capai dalam perlawanan ini. Seterusnya, staf kejurulatihan akan melihat semula perlawanan ini untuk melihat pemain yang akan beraksi dalam kesebelasan utama untuk perlawanan menentang Jordan," katanya.
Dalam pada itu, Pan-gon mengakui pemain mendapat keyakinan selepas aksi persahabatan itu selain lega tiada pemain yang mengalami kecederaan.
"Kami mendapat masa yang cukup untuk melakukan persiapan dan tiada pemain yang cedera menjelang perlawanan pertama nanti," katanya.