Prabowo diasak dua Capres

Iklan
Anies (kanan), Prabowo (kiri) dan Ganjar berhujah atas tema pertahanan, keselamatan, hubungan antarabangsa dan geopolitik di Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan pada Ahad lalu. FOTO AFP

MEMANG sudah dijangka Debat Perdana Calon Presiden (Capres) Indonesia pusingan kedua akan jadi panas dan peribadi.

Malam Ahad lalu di Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan, tiga Capres - Anies Baswedan, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo berhujah atas tema pertahanan, keselamatan, hubungan antarabangsa dan geopolitik.

Iklan
Iklan

Ini merupakan sebahagian daripada lima sesi debat melibatkan Capres dan calon wakil presiden (Cawapres) yang dianjurkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia.

Malam itu agaknya Anies memang sudah membuat keputusan untuk mengambil pendekatan ‘menyerang’. Dari awal lagi beliau sudah menghalakan meriamnya ke arah Prabowo.

Iklan

Sewaktu pembukaan debat, beliau membangkitkan bahawa Probowo sebagai Menteri Pertahanan memiliki 340,000 hektar tanah sedangkan separuh anggota tidak memiliki rumah.

Dalam setiap kesempatan Anies menanyakan soalan atau kenyataan yang menimbulkan rasa kurang senang Prabowo.

Iklan

Ganjar yang mengakui kehangatan suasana pertikaman lidah di antara Anies dan Prabowo pada mulanya mengambil sikap untuk menjadi orang tengah.

Tetapi pada penghujungnya beliau sendiri menyasarkan serangan keras ke atas prestasi Prabowo. Pada akhirnya menjadi dua lawan satu.

Selama ini Prabowo memancarkan diri sebagai orang yang simple, suka berjenaka dan bersahaja. Itulah Prabowo yang sebenar – bekas tentera yang bukan ilmuwan atau pemikir tetapi orang politik yang berpengalaman dan bercita-cita tinggi.

Berbeza dengan Anies dan Ganjar yang kelihatan serius pada malam 12 Disember lalu, Prabowo adalah ‘orang biasa’ yang mahu disenangi walaupun perlakuannya mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, banyak juga yang mempersendakannya.

Tetapi kali ini yang terserlah adalah Prabowo yang nampak tegang dan serius. Hanya sekali beliau menyebut ungkapan yang sentiasa menyebabkan ketawa orang banyak,"Pak Anies! Pak Anies” dalam debat kali ini.

Beberapa kali beliau menyebut ‘profesor’ untuk merujuk pada Anies, tentunya dengan niat menyindir lawannya.

Malah paling menarik apabila beliau mengatakan apa yang diucapkan oleh Anies tidak lebih daripada omong-omong atau cakap-cakap kosong.

Perkataan ‘etika’ nampaknya amat sensitif bagi Prabowo. Ini ekoran daripada kontroversi Mahkamah Konstitusi membenarkan pasangannya, Gibran Rakabuming Raka, anak Presiden Joko Widodo (Jokowi) untuk bertanding walaupun usianya belum mencecah 40 tahun. Keputusan Mahkamah Konstitusi dianggap satu ‘pelanggaran etika’.

Di mana-mana pun Prabowo mempertahankan keputusan itu. Jadi apabila Anies sengaja memancing Prabowo mengenai isu nilai dan etika dalam mengurus soal keselamatan dan pertahanan, Prabowo melepaskan geramnya.

Prabowo bersetuju dengan Anies bahawa pemimpin harus berpaksikan nilai dan etika yang baik. Tetapi beliau memperingatkan,"jangan kerana ambisi peribadi kita menghasut dan menyesatkan rakyat.”

Anies menjawab ada bukti berlaku kompromi dalam soal etika oleh Prabowo sebagai Menteri Pertahanan.

Prabowo membalas keras mengatakan bahawa Anies tidak layak berbicara soal etika kerana tidak menunjukkan contoh yang baik. Beliau malah menuduh Anies ‘menyesatkan’.

Satu lagi perkara yang membangkitkan kemarahan Prabowo ekoran soalan yang ditanya oleh Anies kepada Ganjar.

Anies ingin tahu berdasarkan skala 1 hingga 10 di manakah letaknya pencapaian Prabowo sebagai Menteri Pertahanan.

Ganjar menjawab 5. Tetapi Ganjar memalingkan soalan itu kembali pada Anies dan Anies menjawab beliau hanya memberikan 11 dari 100 peratus.

Supaya berlaku adil kepada Prabowo, seorang Menteri Pertahanan tidak boleh telus dan terbuka dalam semua hal. Beliau betul apabila mengatakan bahawa isu pertahanan negara sesuatu yang sakral (sacred).

Memang ada keperluan untuk tidak mendedahkan strategi dan aset negara yang dimiliki. Tetapi lawan-lawannya menghujahkan apakah jumlah wang dalam pembelian aset terpakai, ketirisan dalam tata kelola perolehan serta kebajikan anggota tentera satu rahsia?

Satu lagi isu yang banyak dibangkitkan oleh netizen adalah kenyataan Prabowo pada pembukaan ucapannya yang mengatakan Gaza ‘lemah’. Bagi netizen kenyataan itu satu penghinaan.

Tentera dan rakyat Gaza tidak boleh dianggap lemah sebaliknya menunjukkan semangat dan kekuatan luar biasa hingga boleh mempertahankan diri daripada serangan tentera Israel.

Banyak juga pandangan yang mengatakan bahawa soal ketenteraan dan keselamatan adalah wilayah Prabowo dan beliaulah yang sepatutnya menonjol dan menguasai ruang. Tetapi nampaknya beliau berada pada kedudukan defensif dan lebih banyak diseret oleh emosi pada malam itu.

Apa yang berlaku di Senayan mengingatkan saya kepada debat presiden Amerika Syarikat (AS) pada penghujung tahun 2016 di antara Donald Trump dan Hillary Clinton.

Kebencian di antara mereka berdua memang sudah membuak-buak sebelum debat presiden itu lagi. Apabila mereka bertembung di pentas debat, rakyat AS melihat drama luar biasa. Serangan peribadi amat ketara dan Trump terang-terang menghina Hillary di hadapan TV.

Malah pada satu peringkat Trump mengatakan Hillary patut dipenjarakan. Pada satu ketika dalam siri debat yang lain beliau menganggap Hillary ‘orang jahat’.

Sudah tentulah kita tidak melihat debat Capres kali ini sampai pada tahap itu. Tetapi selain hujah dan fakta, rakyat Indonesia juga mahu melihat reaksi Capres mereka pada saat terdesak dan diprovokasi. Ternyata Prabowo termakan pancingan Anies dan Ganjar.

Debat sahaja bukan ukuran untuk mengukur penerimaan rakyat. Demikian juga polling atau survey. Dalam konteks Trump-Hillary pada 2016, hampir semua dapatan tinjauan menunjukkan Hillary di hadapan.

Demikian juga reaksi daripada rakyat yang nampaknya rata-rata menyebelahi Hillary. Oleh sebab itu banyak yang terkejut Trump yang terpilih sebagai Presiden AS ke-45.

Jalan untuk menuju tarikh pengundian pemilihan presiden (Pilpres) pada 14 Februari masih jauh. Mereka akan bertembung lagi dalam debat terakhir pada 5 Februari ini.

Sama-samalah kita menonton satu lagi episod politik lebih menarik daripada sinetron TV Indonesia yang terbaik!

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mengikuti Pemilu, Pilpres dan DPR Indonesia pada kali ini dengan penuh minat