RIUH rendah suara-suara penduduk tempatan yang tidak berpuas hati terhadap warga asing ketika golongan itu ditahan dalam satu operasi di sekitar bandar Kota Bharu baru-baru ini.
Sesuai zaman teknologi dan media sosial, ramai juga yang merakamkan gambar dan video ketika operasi berkenaan. Mereka memuji tindakan pihak berkuasa melakukan serbuan dan memeriksa warga asing di sekitar perhentian bas bandar Kota Bharu.
Ketika kesemua warga asing dikumpulkan dan diambil pasport, beberapa wanita tempatan dilihat bertemu polis dan pegawai imigresen.
Ada yang meluahkan kebimbangan suami tidak dilepaskan dan tidak kurang juga yang mahu menjelaskan situasi mereka kepada pihak berkuasa.
Tiba-tiba datang juga beberapa individu yang mahu mengambil kunci kenderaan daripada warga asing yang sudah bersedia menaiki trak polis.
Tidak habis di situ, ada juga warga asing yang baru pulang dari satu negeri lain dan kononnya singgah sebentar di bandar ini kerana merancang mahu menaiki bot di pangkalan haram untuk kembali ke negara asal melalui Thailand.
Itu antara yang dapat dilihat penulis ketika turut serta membuat liputan operasi berkenaan. Banyak sungguh situasi yang perlu dihadap pihak berkuasa. Itu baru sahaja kawasan tidak sampai satu kilometer dan tidak termasuk di daerah lain.
Bukan mahu menuding jari kepada penduduk kerana kita juga tidak tahu kemungkinan ada orang tengah atau ejen yang membawa mereka datang ke negeri ini yang sudah tentunya untuk bekerja.
Bagaimanapun, selepas bertemu dengan seorang wanita yang mengakui berkahwin dengan warga asing, tenyata mereka turut mendapat ‘manfaat’.
Wanita berusia 32 tahun itu tidak kisah berkahwin dengan seorang warga Bangladesh yang dikatakan kuat bekerja serta rajin berusaha. Wanita itu yang sebelum ini ibu tunggal beranak dua kini berkahwin dengan warga Bangladesh berusia 40 tahun.
Hasil usaha suaminya yang tinggal di negara ini dengan menggunakan visa pelancongan, wanita itu mempunyai lesen perniagaan dalam pengiklanan.
"Lelaki Bangladesh tidak romantik, mereka biasa-biasa saja tetapi lain daripada lelaki Melayu,” kata wanita itu.
Penulis bersama sekumpulan wartawan yang mendengar ceritanya itu hanya saling berpandangan dan senyum sendiri.
Mungkin serik dengan perkahwinan pertama atau memang lelaki oversea lebih memberi kebahagian atau pembawa rezeki, siapa tahu.
Bertemu pula dengan seorang wanita yang bekerja dalam bidang profesional, dia sama sekali tidak bersetuju wanita tempatan berkahwin dengan warga asing.
Pendapatnya ialah golongan itu hanya mahu mengambil kesempatan untuk hidup senang di negara ini melalui penggunaan dokumen penting isteri.
"Saya dengar ada yang sanggup kahwin sebab mereka pun diberi wang bulanan, ada yang sehingga RM500 sebulan walaupun kehidupan mereka bukan sebagai suami isteri dan tinggal berasingan,” kata wanita itu lagi.
Mungkin benar kata wanita itu kerana isteri warga asing ini umpama menjerat leher sendiri. Bukan mendoakan tetapi yang lebih baik, fikirkan semula dan jangan cari pasal.
Jabatan Imigresen negeri Kelantan pada Jumaat menahan seramai 238 warga asing dalam Ops Kutip yang kebanyakannya dari Myanmar, Pakistan, India dan Thailand.
Ops Kutip dilaksanakan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Kelantan (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Paling ramai yang ditahan ialah warga Myanmar membabitkan 115 lelaki, tiga wanita dan empat kanak-kanak. Turut ditahan ialah 13 warga Nepal, 14 warga Indonesia dan 76 warga Bangladesh.
Antara kesalahan berkenaan ialah tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
Apa pun, tahniah kepada pihak berkuasa dan penguat kuasa yang tidak mengasari warga asing yang ditahan.
* Aswany Omar ialah wartawan Sinar Harian Kelantan