PADA 6 Januari lalu, laporan muka depan Sinar Harian bertajuk ‘Sewa Sampai Mati’ menjadi perbualan hangat di media sosial.
Ia susulan peningkatan trend rakyat di negara ini yang berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 ke bawah lebih selesa menyewa rumah berbanding memiliki kediaman sendiri menerusi pinjaman institusi kewangan.
Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, terdapat tiga faktor utama mendorong golongan belia untuk memilih konsep ‘menyewa sepanjang hayat’ berbanding mempunyai rumah sendiri.
Antaranya mementingkan aspek penjanaan lebihan aliran tunai daripada soal pemilikan aset, sikap belia yang gemar berhutang awal melalui pinjaman peribadi, kad kredit, pajak gadai dan skim ansuran bulanan serta pemaju meletakkan harga tidak masuk akal.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim memaklumkan, anggaran kasar pendapatan isi rumah sebulan yang diperlukan untuk membeli sebuah apartmen di bandar dengan harga purata RM380,000 adalah sekurang-kurangnya RM6,287.
Ikuti pandangan golongan belia di negara ini sama ada mahu kekal dengan pilihan menyewa atau mengambil inisiatif melebarkan komitmen dengan membeli rumah pada usia muda.
POSITIF
'Penting miliki rumah untuk kelestarian keluarga'
Secara peribadi, saya bersetuju membeli rumah kerana ia aset penting keluarga dan juga anak-anak kerana jika menyewa hingga mati, di mana waris akan tinggal, adakah mereka akan dihalau?
Memiliki rumah juga mampu membesarkan keluarga dan anak-anak di tempat yang tetap dengan persekitaran sama termasuk sekolah kerana mengurangkan risiko perlu berpindah randah.
Kebiasaannya dengan menyewa rumah, akan timbul risiko atau kemungkinan untuk dihalau kerana pemilik mahu kembali ke rumah tersebut, tetapi isu begitu tidak terjadi jika memiliki rumah sendiri.
Soal gaji dan nilai rumah subjektif kerana melihat kepada inisiatif kerajaan sekarang, beberapa rumah yang kondusif mampu dimiliki dengan harga lebih berdaya saing.
Saya melihat jika seseorang mempunyai gaji sekitar RM4,000 sebulan, sudah mampu untuk membeli rumah sekiranya mempunyai pengurusan kewangan yang baik dan kurang tanggungan.
Bagaimanapun, harga rumah perlu setimpal dengan pendapatan yang mana bayaran bulanan hanya memperuntukkan 20 peratus daripada gaji agar mampu dibahagikan kepada perbelanjaan lain juga.
Tambahan pula, banyak perkongsian di media sosial susulan orang ramai menceritakan pengalaman peribadi apabila sudah habis bayaran bulanan pinjaman perumahan, namun tetap perlu menyelesaikan caj faedah, riba dan sebagainya.
Pada pandangan saya, pandangan sebegini tidak berasas kerana sudah banyak servis kewangan Islam yang menawarkan pembiayaan rumah tanpa bunga.
Justeru, apabila bayaran selesai seperti dijadualkan, maka rumah berkenaan terus bertukar hak milik dan hubungan dengan bank sudah berakhir, tetapi mungkin kos-kos lain seperti utiliti, penyelenggaraan dan juga cukai pintu berjalan macam biasa. - Pelajar, Muhammad Aqmal Najmi Mohd Aziz Harjit, 22
Bagi saya, membeli rumah adalah pilihan yang lebih baik berbanding menyewa kerana kita terikat dengan kontrak antara pemilik dan penyewa.
Jika dilihat dalam masa terdekat, memang agak mustahil untuk membeli rumah walaupun ada kategori mampu milik, namun lima hingga 10 tahun akan datang mungkin ada rezeki saya memilikinya.
Saya lebih gemar meninjau lokasi perumahan strategik dan mempunyai akses pengangkutan awam, berdekatan restoran, masjid dan taman permainan meskipun ditawarkan dengan harga tinggi.
Hal ini kerana pada masa akan datang saya mahu kekal berada di satu kawasan sahaja sehingga keluarga generasi seterusnya boleh tinggal di situ dan tidak berpindah ke tempat lain.
Meskipun komitmen tersebut sangat besar, satu pekerjaan sahaja memang tidak mencukupi, tetapi kewujudan industri gig dengan melakukan pekerjaan sambilan photographer jelas membantu mengurangkan sedikit bebanan kewangan.
Saya percaya ramai yang khuatir dengan perkongsian mengenai positif atau negatif tentang caj tersembunyi, bunga dan riba, lebih-lebih lagi di kumpulan Facebook.
Sejujurnya, saya tidak peduli dengan momokan atau pengalaman buruk yang dikongsikan mereka kerana itu sudah menjadi kebiasaan bagi penghuni menyatakan ketidakpuashatian masing-masing.
Justeru, tiada apa perlu dirisaukan, kalau takut dengan perkara-perkara sebegitu, maka elakkan daripada membuat sebarang hutang. - Pekerja swasta, Mahendran Selvam, 25
NEGATIF
'Ada kekangan untuk golongan berpendapatan RM2,500 ke bawah'
Bagi saya, sememangnya ada kekangan untuk golongan berpendapatan RM2,500 ke bawah kerana gaji permulaan bagi majoriti golongan fresh graduate akan diperuntukkan kepada liabiliti seperti kereta atau motosikal, jadi komitmen membeli rumah itu agak besar buat anak muda kerana keperluan bergerak ke tempat kerja perlu diutamakan terlebih dahulu.
Selain komitmen kereta yang memudahkan pergerakan ke tempat kerja, saya juga melabur di platform perbankan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji untuk kegunaan masa hadapan seperti membeli rumah, namun bukan sekarang.
Lebih-lebih lagi, harga rumah semasa memang tidak masuk akal buat golongan muda masa kini dan sukar untuk mereka membeli rumah jika tidak menguruskan kewangan dengan baik.
Keselesaan juga amat dititikberatkan meskipun sekadar sewa rumah atau bilik bersaiz kecil, tapi selesa untuk pulang ke rumah bila penat bekerja sangat penting kerana saya sangat menjaga kesihatan mental serta fizikal.
Pilihan menyewa rumah adalah tepat buat masa ini memandangkan saya baru sahaja memasuki alam pekerjaan tetapi sekiranya ada peluang lebih baik dengan gaji berpatutan, insya-ALLAH saya akan membeli rumah pula. - Pegawai perbankan, Nurul Hafawati Azmi, 26
Buat masa ini, saya lebih suka untuk menyewa rumah berbanding membeli kerana lebih mudah dan tidak merumitkan.
Kawasan rumah sewa saya berdekatan dengan tempat kerja dan perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja.
Jadi, saya tidak perlu berulang-alik terlalu jauh dan bukan itu sahaja, senang untuk berpindah jika dapat kerja baharu di tempat lain.
Bagaimanapun, ada juga perancangan untuk beli rumah supaya ia dapat bantu menjana pendapatan misalnya menyewakan semula sementara saya tinggal di tempat lain, tetapi bukan sekarang.
Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa golongan menyewa tidak layak membuat pinjaman bank, tidak semestinya kerana pilihan untuk membeli atau menyewa terletak di tangan masing-masing.
Pinjaman bank untuk skim perumahan memang layak untuk sesiapa sahaja jika bijak mengurus kewangan dengan baik dan berbelanja mengikut keperluan.
Namun, tumpuan wajar juga diberikan kepada komitmen bulanan yang lain contohnya kereta, motosikal atau pinjaman barang ansuran melebihi atau sebaliknya dengan pengurusan gaji kita. - Perunding bisnes, Janice Tan Wan Ping, 27