KUALA SELANGOR - Seorang pengusaha bubu naga membuang sejumlah lima guni peralatan itu ke dalam parit selepas gudangnya di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang di sini diserbu Jabatan Perikanan Selangor pada Rabu.
Kejadian kira kira jam 3 petang itu dijalankan semasa operasi khas selama tiga jam di gudang yang menjadi tempat penyimpanan peralatan haram berkenaan.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, lelaki berusia 51 tahun itu dikatakan berang selepas kegiatannya itu berjaya dihidu pihak berkuasa.
"Lelaki itu pada mulanya dilihat bertindak mengambil bungkusan guni bubu naga yang telah dirampas dan kemudiannya memindahkan bungkusan itu ke dalam keretanya sebelum membuangnya ke dalam parit berhadapan premis," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Noraisyah berkata, lelaki berkenaan kemudiannya segera melarikan diri dari lokasi kejadian selepas tindakannya itu disedari pihak penguatkuasa.
"Kami mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan bungkusan bubu naga yang dibuang lelaki tersebut ke dalam parit berkenaan," tambahnya.
Beliau memberitahu, gudang yang menempatkan rumah pekerja itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan selain mengupah pekerja bagi menjahit bubu naga yang telah rosak.
Jelas beliau, kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak empat tahun lalu dan pengusaha bubu naga mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 sehari.
Menurut beliau, operasi disertai seramai 17 anggota penguatkuasa Jabatan Perikanan Selangor serta mendapat bantuan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu berjaya merampas 2,000 unit bubu naga yang dianggarkan bernilai RM70,200 di premis berkenaan.
Beliau berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut berjaya merampas sebanyak 750 unit bubu naga bernilai RM22,500 dalam serbuan di Jeti Bagan Tengkorak.
"Dalam operasi di dua lokasi itu, kita berjaya merampas sebanyak 2,750 unit bubu naga yang kesemuanya berjumlah RM92,700," jelasnya.
Katanya, semua barang rampasan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.