GEORGE TOWN - Kerja-kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh negeri ini berjaya disiapkan awal daripada jadual yang ditetapkan pada malam Rabu.
Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Pathmanathan K berkata, pemulihan bekalan air peringkat satu telah bermula pada jam 11 malam dan dapat diselesaikan pada jam 6 pagi Jumaat.
Menurutnya, bekalan air dinormalisasi secara berperingkat dan dapat disalurkan semula kepada 197,025 pengguna di kawasan Seberang Perai.
"Ketika ini kerja-kerja pemulihan bekalan air peringkat satu tidak terjejas dengan kejadian di Sungai Perai kerana LRA Sungai Dua sedang mengepam air kepada pengguna melalui saluran paip utama yang lain.
"Kerja-kerja pembaikan respon kecemasan di Sungai Perai tertangguh pada malam tadi berikutan masalah teknikal yang mana salah satu pengapit yang direka khas untuk diletakkan di atas lubang sepanjang 1.35 meter pada saluran paip tidak dapat dipasang dengan betul.
"Operasi menyelam ditangguhkan, kren berat dibawa masuk dan digunakan untuk mengangkat pengapit yang tidak sesuai untuk pengubahsuai di tapak dan pasukan selam komersial akan mengunci pengapit yang diubah suai pada hari ini," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, kerja-kerja pemulihan bekalan air peringkat dua pula dijangka akan mula dilaksanakan bermula jam 6.01 pagi pada Jumaat dan pihaknya menyasarkan ia dapat memberikan semula bekalan air kepada 495,066 pengguna di kawasan Seberang Perai dan pulau.
Jelasnya, kejayaan peringkat dua ini bergantung kepada pengoperasian semula bahagian yang rosak pada saluran paip bawah air Sungai Perai.
"Terdapat dua saluran paip berdiameter 1.35m yang menyalurkan air dari LRA Sungai Dua kepada tiga set saluran paip dasar laut berkembar yang merentasi laut ke Pulau Pinang.
"Bahagian yang rosak di Sungai Perai adalah bahagian salah satu daripada saluran paip berdiameter 1.35m ini. Kedua-dua saluran paip perlu berfungsi dengan baik untuk PBAPP mengepam air yang mencukupi ke Pulau Pinang," katanya lagi.
Beliau berkata, PBAPP sedang berusaha keras untuk menyiapkan kerja-kerja pembaikan kecemasan Sungai Perai pada hari ini ada akan memberikan perkembangan terbaru dari masa ke masa.