JURULATIH Real Madrid, Carlo Ancelotti menyifatkan aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol menentang Atletico sebagai sengit sebelum anak-anak buahnya mara ke final menerusi kemenangan 5-3 pada masa tambahan di Arab Saudi awal pagi Khamis.
Malah jurulatih berusia 64 tahun itu turut memuji para pemain kerana mempamerkan aksi begitu bertenaga dan perancangan taktikal yang diterapkan berjaya diterjemahkan dengan baik.
"Atletico bermain amat baik, begitu juga kam. Ia perlawanan yang hebat.
"Kami menang kerana pemain mempunyai lebih banyak tenaga sehingga penghujung perlawanan. Pemain gantian turut menjadi," ujar Ancelotti.
Dalam aksi itu, Mario Hermoso dan Antonio Rudiger meledak gol menerusi tandukan untuk pasukan masing-masing pada awal babak pertama sebelum Ferland Mendy meletakkan Madrid di depan dalam saingan di Stadium Al-Awwal Park, Riyadh.
Pemain sensasi, Antoine Griezmann kemudian menyamakan kedudukan untuk Atletico sekali gus muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman kelabnya.
Jaringan sendiri Kepa Arrizabalaga membolehkan skuad Rojilbancos mendahului perlawanan tetapi Dani Carvajal menyamakan kedudukan buat Madrid untuk mengheret perlawanan sehingga masa tambahan.
Ketika aksi menuju sepakan penalti, jaringan sendiri Stefan Savic kembali meletakkan Madrid di depan dan Brahim Diaz mengesahkan kemenangan menerusi serangan balas pantas.
Atletico yang dibimbing Diego Simeone satu-satunya pasukan yang menewaskan Madrid pada September lalu.