SIK - Dua pekerja kilang maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung dalam kemalangan di Jalan Kampung Kalai, di sini pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kejadian pada jam 9.30 malam itu menyebabkan Muhamad Jeffri Mat Said, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, seorang lagi mangsa, Mohd Zarif Ahmad Kamal, 32, beralamat di Kampung Datuk Syed Ahmad, Mukim Padang Peliang, Pendang yang menunggang motosikal Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sik akibat kecederaan parah di kepala.
"Ketika kejadian motosikal Yamaha Ego Solariz itu bergerak dari arah Kampung Gajah Putih menghala ke tempat kerjanya di Jeniang manakala motosikal Yamaha 135LC pula dari arah Jeniang menghala ke rumahnya di Kampung Datuk Syed Ahmad, Pendang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang Yamaha Ego Solariz yang sedang menuruni jalan yang berbukit hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
"Kejadian itu menyebabkan berlaku pertembungan dengan penunggang Yamaha 135LC di bahagian hadapan sebelah kanan," katanya.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, penunggang Yamaha Ego Solariz itu terbabas ke kiri jalan manakala seorang lagi penunggang terpelanting di bahu kanan jalan dan jatuh di atas jalan raya.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.