TEMERLOH - [KEMAS KINI] Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) dekat Masjid Kampung Kelebang, Kerdau di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.55 pagi itu, mangsa yang juga pengurus koperasi Felcra dikenali sebagai Hamidah Ismail, 61, beralamat Kampung Damak, Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kemalangan terbabit membabitkan SUV jenis Perodua Kembara dan Inokom Santa.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Kembara yang dipandu mangsa dari arah Jerantut menghala ke Temerloh hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung.
"Bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis..
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai lima anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Seorang wanita dewasa iaitu pemandu Kembara tersepit dan meninggal dunia disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Seorang lelaki dewasa yang cedera telah diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," jelasnya.