PUTRAJAYA - Sejumlah RM1,715,053 nilai kompaun dikeluarkan dan telah dan dijelaskan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN berkata, sebanyak RM137,517.69 nilai harta alih telah dilucuthakkan dan dijadikan hasil Kerajaan Malaysia bagi tempoh yang sama.
"Sebanyak RM1,852,570.69 telah berjaya dipulihkan untuk dijadikan hasil kerajaan daripada kes yang telah dikenakan tindakan pelucuthakkan tanpa pendakwaan dan menerusi kompaun," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, jumlah tersebut akan meningkat selepas beberapa lagi kes yang sedang dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah selesai.
"Sepanjang tahun lalu, bahagian ini telah menjalankan beberapa kerjasama perkongsian maklumat risikan, latihan dan operasi dengan agensi penguatkuasaan lain dalam usaha pencegahan jenayah kewangan," katanya.
Ujar beliau, beberapa operasi yang telah dijalankan Ops Reward, Ops Tiris dan Ops Pharma.
"Secara keseluruhan pula, berdasarkan statistik kes bermula tahun 2016 hingga 2023 sejumlah RM56,628,198.30 harta berjaya dilucuthakkan, RM2,419,053.00 kompaun dan RM12,000,000.00 denda telah dikutip," katanya.
Tambah Azman, jumlah keseluruhan hasil kerajaan menerusi penguatkuasaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] adalah RM71,047,251.30.
Jelas beliau, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh KPDN dalam menguatkuasakan pencegahan pengubahan wang haram antaranya termasuklah penggunaan transaksi aktiviti haram secara tunai dan tidak melalui sistem perbankan atau menggunakan mule account.
"Penglibatan badan profesional seperti akauntan dan setiausaha syarikat sebagai individu atau organisasi yang menyediakan perkhidmatan profesional yang membantu melakukan aktiviti pengubahan wang haram turut menjadi cabaran siasatan.
"Cabaran akan datang yang perlu dihadapi adalah penggunaan transaksi mata wang kripto yang pelbagai dan ia bukan mata wang yang sah diperlakukan di Malaysia," katanya.
Oleh yang demikian, ujar beliau tindakan berterusan akan dilaksanakan oleh Seksyen
Pencegahan Pengubahan Wang Haram KPDN untuk memperkasakan penguatkuasaan Akta 613 dan memperolehi kembali hasil haram yang diperolehi di bawah undang-undang sedia ada bagi tujuan dijadikan hasil kerajaan.