KUALA SELANGOR - Kegiatan lapan individu termasuk warga asing menangguk benih kerang di sekitar perairan Kuala Selangor tumpas apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, lapan individu itu dikesan oleh pasukan peronda Maritim Malaysia pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika pesisir pantai Kuala Selangor pada jam 1.45 petang.
"Kesemua mereka cuba melarikan diri apabila didekati oleh pasukan Maritim Malaysia, bagaimanapun mereka berjaya ditahan oleh anggota bertugas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Abdul Muhaimin berkata, turut ditahan dalam operasi itu seorang pemandu kenderaan Mitsubishi Triton yang sedang menunggu di pesisir pantai tersebut.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati, tiga daripada suspek warga tempatan berumur lingkungan 20 hingga 60 tahun manakala lima lagi warga Kemboja berusia 25 hingga 45 tahun dan seorang warga Thailand 26 tahun," katanya..
Jelas beliau, pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, kesemua warga asing melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.
Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kereta pacuan empat roda telah menemui lapan guni berisi benih kerang dan turut ditemukan lapan buah tangguk dan dua buah tongkah.
"Kes disiasat di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2003.
"Nilai rampasan benih kerang termasuk kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM74,800," katanya.
Beliau berkata, semua individu ditahan dan hasil rampasan dibawa ke jeti Maritim Negeri Selangor sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.