SHAH ALAM - Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu merancakkan semula usaha pengagihan kekayaan negara dengan lebih baik terutama kepada golongan B40 serta M40.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, dengan menawarkan gaji yang kompetitif ia mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat terutama di kawasan bandar.
Menurutnya, GLIC juga perlu memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya kepada peniaga yang sukar mendapat akses pembiayaan.
"Penawaran gaji perlu lebih kompetitif dan mempunyai sistem gaji yang baharu dengan mengambil kira tiga aspek iaitu produktiviti, inflasi serta perbezaan pendapatan dalam organisasi.
"Kedudukan tingkat gaji yang tidak adil terhadap pihak tertinggi pengurusan syarikat dan pekerja bawahan memberi tekanan terhadap kos sara hidup terutama di bandar perlu segera diubah.
"GLC juga perlu menjadi peneraju penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi modal pelaburan bernilai tinggi selain menjadi entiti peneraju membimbing industri tempatan selaras dengan dasar Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.
Pada 9 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengurangkan pelaburan di luar negara sebaliknya meningkatkan pelaburan dalam negara.
Susulan itu, Anwar juga telah meminta Kementerian Kewangan dan Pantau Madani menyelaraskan usaha GLIC dan GLC melaksanakan pelaburan strategik selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Mengulas lanjut, menurut Faiz, rakyat mahukan reformasi terhadap struktur GLIC dan GLC dapat dijayakan supaya entiti tersebut mampu bergerak selari bersama agenda pembangunan negara.
Ujarnya, kejayaan negara China dalam pelbagai bidang termasuk teknologi kerana keberkesanan syarikat milik kerajaan dalam memacu pembangunan industri tempatan.
"Keputusan Perdana Menteri bahawa Kementerian Kewangan dan Pantau Madani dipertanggungjawabkan untuk menilai kembali bagi menyelaras fungsi GLIC dan GLC adalah idea yang perlu disokong,” katanya.