KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd berkait kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Daim, 86, isterinya, Toh Puan Nai’mah Khalid, 67, dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta lham Tower selaku pemohon pertama hingga ketujuh memfailkan permohonan berkenaan menerusi Tetuan Tommy Thomas.
Menerusi dokumen semakan kehakiman, mereka menamakan SPRM dan pendakwa raya selaku responden pertama dan kedua, memohon perintah siasatan dihentikan, sekiranya mahkamah memberikan kebenaran semakan tersebut.
Mereka berkata, SPRM dan pegawainya tiada sebab munasabah untuk menjalankan siasatan sejak Februari tahun lalu.
Katanya, ia akan membawa kepada pendakwaan bagi sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
"Kami memohon perisytiharan bahawa, pertuduhan oleh pendakwa raya, menyalahi perlembagaan dan tidak sah kerana mereka tidak akan menerima perbicaraan yang adil.
"Ini mengambil kira kelewatan selama 22 tahun (untuk memulakan siasatan) dan dengan itu melanggar hak asasi kebebasan peribadi setiap pemohon di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata pemohon.
Mereka berkata, notis yang dikeluarkan SPRM juga telah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Dengan itu, mereka memohon perintah certiorari terhadap SPRM dan pegawainya untuk membatalkan semua siasatan.
Mereka juga memohon satu perintah larangan bagi pendakwa raya daripada membuat kes pendakwaan dan satu perintah mandamus supaya semua dokumen, fail, kertas, rekod, harta, aset dan wang yang disita atau diperoleh daripada siasatan, dikembalikan dalam tempoh tujuh hari.
Turut dipohon, perintah perisytiharan terhadap notis yang dikeluarkan oleh SPRM pada 7 Jun 2023 tidak lagi berkuat kuasa mulai 5 September tahun sama.
"Kami memohon semua aset, akaun bank dan akaun bank syarikat berkaitan dilepaskan dan dikembalikan, selain memohon ganti rugi am dan teladan terhadap SPRM.
"Agensi itu tiada sebab munasabah untuk mengesyaki semua pemohon melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM atau AMLATFPUAA serta sebarang kesalahan yang timbul daripada pendedahan dalam Kertas Pandora,” kata dokumen tersebut.
Keluarga Daim berkata, pada 30 Disember tahun lalu, SPRM mengeluarkan pernyataan bahawa siasatan terhadap Daim berdasarkan maklumat dari Pandora Papers atau Kertas Pandora.
Menurutnya, Pandora Papers adalah fail sulit yang tersebar pada 2021 yang mendedahkan nama pemilik syarikat luar pesisir, aset, dan akaun bank di luar negara yang di luar bidang kuasa Malaysia.
Pengurusan kes ditetapkan pada Selasa depan secara sidang video di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan, isteri dan anak kepada tokoh konglomerat terkenal itu diminta hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan.
Pada 22 Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada muslihat, niat jahat, pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak dalam tindakan SPRM menyita bangunan Menara Ilham milik keluarga Daim.
Sementara SPRM pada 30 Disember, mengesahkan bekas Menteri Kewangan itu disiasat berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari 2023.
Selasa lepas, empat individu berkaitan dengan Daim turut dipanggil memberi keterangan.