[VIDEO] Runtuhan tebing sungai ancam nyawa penduduk

Iklan

SUNGAI BULOH - Penduduk di Lorong Dato Mat Yunan, Kampung Gombak Batu 19, Kuang di sini bimbang runtuhan tebing sungai di kawasan itu menjadi lebih teruk sehingga mampu mengancam nyawa mereka.

Rubiah (dua dari kanan) menunjuk ke arah jajaran sungai yang didakwa sudah berubah selepas kawasan itu dilanda banjir Disember lalu.

Mereka mendakwa hakisan tebing sungai jelas kelihatan akibat arus deras ketika banjir melanda pada Disember lalu, malah rumah berhampiran kini berisiko roboh sekiranya hujan lebat melanda.

Iklan
Iklan
Tanah milik penduduk juga ada yang sudah 'ditelan bumi' akibat runtuhan tebing sungai.

"Pihak berkuasa perlu buat sesuatu, jika dibiarkan hakisan menjadi lebih serius dan tidak mustahil menjejaskan rumah saya kerana paling hampir dengan sungai," kata Linda Barwanti Bakar, 59, ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Iklan
Linda Barwanti

Ibu kepada dua anak itu berkata, mereka sekeluarga juga tidak lena tidur apabila hujan lebat melanda malah suaminya sanggup tidur di bahagian luar di depan rumah jika keadaan hujan lebat berterusan.

Iklan

Sementara itu, Mohd Hafiz Hussin, 44, berkata, penduduk menantikan kehadiran pihak berkuasa bagi menilai tahap kerosakan tebing sungai yang kini hanya lebih kurang lima meter dari rumah penduduk.

Mohd Hafiz

Seorang lagi penduduk, Basri Nak Omar, 61, pula berkata, tanah miliknya juga sudah 'ditelan bumi' akibat runtuhan tebing sungai selepas banjir melanda kawasan tersebut.

Basri

"Tanah milik saya pun sudah roboh lebih kurang 100 kaki (39 meter) selepas dihanyutkan air, perlu luruskan semula jajaran sungai ini bagi mengelak hakisan ini daripada terus berlaku," katanya.

Sementara itu, Rubiah Ku Saad, 69, meminta pihak berkuasa berkaitan mengambil perhatian segera berhubung rayuan penduduk kerana keluasan tanah milik penduduk sudah banyak terjejas.

Rubiah

"Pendek kata generasi akan datang tidak boleh buat apa lagi jika tiada bantuan (perhatian) diberikan sekarang, keadaannya semakin hari (runtuhan tebing sungai) menjadi semakin teruk kerana terhakis.

"Pokok buah-buahan sudah tidak ada lagi (sebab tumbang) tidak boleh lagi makan (buah) dan saya minta aduan ini diterima sebab hakisan ini bukan sikit tetapi sudah menjadi semakin teruk," katanya.

Pokok buah-buahan ditanam penduduk tumbang akibat hakisan tebing sungai.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis memaklumkan pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara tersebut.

"Kita sudah bincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pejabat tanah membabitkan kawasan terjejas di beberapa tempat di Kuang.

"Ia termasuk mengenai reka bentuk untuk membaikinya namun ada di beberapa tempat adalah tanah persendirian dan perlu mendapat kebenaran pemilik (dahulu) untuk masuk ke tanah mereka," katanya.