KUALA PILAH - Selepas diganggu ketukan pintu waktu malam, penduduk Kampung Kepis Ulu dan Kampung Kepis Hilir di sini mendakwa melihat lembaga hitam pula.
Malah mereka turut mendengar bunyi tingkap rumah diumpil dan dicakar serta menghidu bau wangi.
Menurut Haslinda Hassim, 54, gangguan misteri kali kedua yang dihadapinya malam Rabu membuatkan dirinya betul-betul ketakutan kerana melihat lembaga hitam.
"Malam tadi hanya saya dan anak lelaki kedua ada di rumah manakala anak lelaki sulung keluar mengikut orang kampung meninjau rumah penduduk lain yang diganggu.
"Lebih kurang jam 9.40 malam anak saya balik dan kami berbual-bual di luar. Sedang berbual itu saya dengar bunyi seperti ada 'seseorang' tersepak batu dan apabila saya toleh nampak lembaga hitam sedang membongkok di kawasan hadapan rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada masa sama katanya, lembaga tersebut turut memandangnya dari jauh dan serta merta memecut lari dari situ.
Ujarnya, lembaga itu kelihatan seperti manusia kerana kakinya jejak ke tanah, tetapi tidak berbaju dan tidak berseluar.
"Badan dia tak besar dan tak tinggi sangat, saya rasa lembaga itu memang manusia. Tapi bila dia nampak saya memandang dari jauh, terus dia memecut lari.
"Larinya pula sangat laju dan tak saya tak pasti ke arah mana. Kali ini memang saya betul-betul takut dan saya nampak dengan jelas kerana lampu rumah dibuka," katanya.
Bagaimanapun katanya, kira-kira jam 2.30 pagi anaknya pula memberitahu terdengar bunyi tingkap sebelah biliknya diumpil dan dinding rumah dicakar.
Sementara itu seorang penduduk di Kampung Kepis Ulu, Mariam Johit, 67, turut mendakwa gangguan misteri yang datang ke rumahnya malam tadi (Rabu) berserta dengan kehadiran lembaga hitam.
Katanya, anaknya Noreenor melihat dengan jelas lembaga tersebut yang berdiri di luar beranda rumahnya.
"Dalam jam 9 malam itu, anak saya dengar pintu jeriji rumah digoncang dan apabila intai di sebalik langsir dia nampak ada lembaga hitam itu.
"Dia kemudian menjerit 'mak orang mak!' dan kami semua anak beranak terus berlari ke pintu. Saya tak sempat nampak lembaga itu, tapi dengar bunyi seperti orang berlari," katanya.
Tambahnya, kejadian itu membuatkan dia dan anak-anak serta cucu menangis kerana ketakutan, malah sehingga pagi tidak dapat melelapkan mata.
Malah, seorang cucunya berusia 11 tahun terpaksa dikejarkan ke klinik selepas mengalami serangan panik kerana terlalu ketakutan.
"Ini kali kelima rumah saya didatangi gangguan ini dan kali ini lebih menakutkan kerana nampak lembaga hitam.
"Sebelum ini pun kami ada terhidu bau wangi di pintu belakang rumah pada waktu malam," katanya.
Anaknya Marina bt Mohd Nor, 47, pula berkata, mereka bukannya mahu mencari populariti dengan sengaja membuat cerita kejadian berlaku.
"Tak kena pada batang hidung sendiri boleh cakap macam itu. Kami yang kena ini sentiasa hidup dalam keadaan tak tenteram dan ketakutan.
"Dulu bila baca berita berlaku kes macam ini di tempat lain, saya pun fikir sama ada kes ini betul ke tak, tapi sekarang kena pada diri saya sendiri.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepis Hilir, Mohammad Sah Sulaiman, 44, berkata, sebelum ini penduduk hanya diganggu dengan bunyi ketukan pintu, tetapi kali ini ada yang melihat lembaga hitam.
Ujarnya, sehingga kini lebih 14 rumah yang dilapor menerima gangguan tersebut dan ia telah menimbulkan suasana tidak tenteram di kampung tersebut.
"Kes malam tadi (Rabu) di rumah pertama, ada kesan tapak kaki berminyak yang tidak sempurna dijumpai di bahagian lantai luar rumah.
"Saya boleh katakan kejadian berlaku membuatkan penduduk dalam ketakutan dan selain membuat bacaan Yassin, kita juga mula menggunakan khidmat perubatan Islam untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku," katanya.