KUALA LUMPUR - Legasi Dr Maszlee Malik selama 20 bulan sebagai Menteri Pendidikan diyakini tidak akan dilupakan.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, PTPTN menghargai dan berterima kasih atas segala jasa dan khidmat bakti Maszlee sepanjang tempoh menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Tanggungjawab besar sebagai Menteri Pendidikan adalah suatu amanah yang amat mencabar untuk sesiapa jua yang memegangnya.
"Kami di PTPTN turut mengucapkan selamat maju jaya dan sesungguhnya ia bukan pengakhiran sebaliknya sebuah permulaan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, PTPTN merupakan sebuah agensi pembiayaan pendidikan utama negara di bawah KPM.
Katanya, PTPTN berharap Maszlee akan terus menyokong usaha PTPTN menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat, sekali gus memastikan 'Pendidikan Untuk Semua' sebagaimana beliau usahakan selama ini.
Semalam, Maszlee mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa hari ini.
Keputusan itu diambilnya selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertemuan semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya pulangkan jawatan ini kepada Perdana Menteri..'