LIPIS - Tindakan licik seorang lelaki menyamar sebagai musafir sebelum mencuri tabung masjid sejak awal bulan ini akhirnya berjaya diberkas pihak polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor memberitahu, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Fah Choon, Kuala Lipis dalam sebuah serbuan kira-kira jam 1.25 pagi.
Menurutnya, sebelum itu pada Rabu, pihak polis menerima laporan kes kecurian tabung Masjid Saidina Abu Bakar dekat Kampung Kuala Lanar di sini membabitkan kerugian kira-kira RM150.
"Dalam serbuan tersebut, turut dirampas antaranya sebuah kereta Proton Waja warna perak, serangkai anak kunci berserta alat kawalan jauh, sehelai baju sejuk lengan panjang, sebuah topi warna hitam, satu pemotong, dua batang sepana dan sebuah beg galas.
"Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, suspek mendedahkan penglibatan sebanyak tiga kes curi tabung masjid di daerah Lipis, dua di Raub manakala kereta Waja yang digunakan dicuri di kawasan Tapah pada 23 Disember lalu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, dengan penangkapan lelaki itu berjaya menyelesaikan kes-kes tersebut.
Jelas Azli, suspek menggunakan modus operandi iaitu menyasarkan masjid-masjid tepi jalan utama dengan berpura-pura sebagai musafir yang sedang berehat dalam premis terbabit.
"Suspek melakukan jenayahnya pada waktu awal pagi sekitar jam 3 pagi hingga 11 pagi," tambahnya suspek memiliki 20 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Dalam pada itu, Azli memberitahu hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan reman sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan mencuri dalam bangunan.