BEREGU lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melakar kejutan setelah menumpaskan pasangan kelima dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Ramussen untuk mara ke aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 pada Khamis.
Kejayaaan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila pasangan negara yang menghuni ranking ke-12 dunia itu dipaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan dalam tempoh sejam permainan.
Dalam aksi di Axiata Arena itu, Yew Sin-Ee Yi menang 21-10 dalam saingan awal, sebelum pilihan keempat kejohanan itu bangkit untuk menang set kedua 21-11 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi dramatik dengan gegak gempita sorokan ribuan penyokong menyelubungi venue apabila kedua-dua pasangan mempamerkan saingan sengit untuk memburu slot ke kelompok lapan terbaik.
Ketika Yew Sin-Ee Yin memimpin permainan 20-18, pasangan lawan enggan mengalah mengejar mata untuk mengikat mata 22-22.
Namun dengan sorakan semangat penyokong Malaysia, menyuntik motivasi pasangan negara untuk mengesahkan kemenangan 24-22 sekali gus menyamai rekod edisi 2023 mara ke suku akhir.
"Lebih semangat walaupun ketinggalan, mereka (penyokong) tidak putus asa, kita pun tak putus asa. Kami kian bersemangat dan ia (sokongan) sangat membantu," ujar Ee Yi.
Malah Yew Sin turut menyifatkan sokongan padu peminat negara itu menjadi titik tolak kepada kemenangan mereka.
"Tuning point untuk kami bangkit, terus melawan, tak berputus ada dan akhirnya menang," katanya.
Menanti pasangan negara pada suku akhir ialah pemenang antara pilihan ketujuh, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun atau gandingan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall.