Piala Asia: Ahmad Zahid ucap selamat berjuang kepada skuad Harimau Malaya

Iklan
Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini mengucapkan selamat berjuang kepada skuad Harimau Malaya yang akan berentap pada saingan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat berjuang kepada skuad Harimau Malaya pimpinan ketua jurulatih, Kim Pan Gon yang akan berentap pada saingan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini turut mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlang skuad negara melayakkan diri secara merit ke kejohanan bola sepak terulung Asia itu.

Iklan
Iklan

"Saya bersama seluruh rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kejayaan buat anda semua. Sematkan azam dan tingkatkan tekad demi mengharumkan nama negara.

"Semoga anda berjaya menjulang kemenangan buat negara dan berjuanglah #DemiMalaysia! Insya-ALLAH, saya yakin penglibatan dalam acara besar seperti ini menjadi asbab untuk industri bola sepak negara terus berkembang dan melahirkan lebih ramai bakat berkaliber,” katanya.

Iklan

Piala Asia 2023 akan berlangsung esok hingga 10 Februari ini.

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen menentang Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi, 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub, diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad sebelum bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.

Iklan

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik.

Malaysia belum pernah mencapai kedudukan itu dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia, selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait, selain ketika negara menjadi tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam pada 2007. - Bernama