Tidak tahu atau sengaja buat-buat lupa

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

MASIHKAH anda ingat, berkuat kuasa 1 Januari 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan tempat-tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok.

Penguatkuasaan secara pendidikan dilakukan selama 12 bulan, diikuti penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.Ini merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Iklan
Iklan

Waktu itu nampak perokok tegar mengambil pendekatan berjaga-jaga dengan ‘mengawal nafsu’ agar tidak merokok di kedai makan.

Bimbang disapa pegawai yang memakai vest berwarna biru gelap berlambang KKM.

Iklan

Tak pasal-pasal dapat ‘surat cinta’, melayang RM250.

Selain itu, di bawah Peraturan 12 PPKHT 2004, semua pemilik premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan seperti bekas abu rokok dan shisha.

Iklan

Mereka juga hendaklah memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi dan jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.

Mengikut data Tahun 2022, sebanyak 12,773 operasi dijalankan dengan 30,648 notis bernilai RM7.6 juta dikeluarkan.

Notis kesalahan merokok di tempat makan paling tinggi pada 2022 ialah Selangor yang mencatatkan 6,414 notis, diikuti Johor (3,095), Pahang (2,935), Perak (2,808) dan Pulau Pinang (2,725).

Bagaimanapun, dari sehari ke sehari, penguatkuasaan larangan merokok semakin diabaikan.

Boleh dilihat sekarang, amalan tidak sihat itu semakin rancak di gerai makan, warung dan restoran terbuka.

Masih ramai lagi perokok dengan selamba menghisap ‘produk beracun’ itu sedangkan garis panduan menetapkan pelanggan boleh merokok dengan jarak tiga meter dari premis.

Sikap ambil ringan larangan ini menyebabkan pelanggan yang tidak merokok putus selera menikmati juadah apabila tercium asap rokok yang terkandung lebih 4,000 bahan kimia, 60 daripadanya bersifat karsinogen atau penyebab kanser.

Walaupun ada pelanggan merenung tajam menunjukkan reaksi tidak selesa, perokok tegar ini seolah-olah tidak malu, atau paling tidak pun cuba menyembunyikan perbuatan mereka sambil membuat mimik muka tidak bersalah.

Dek kerana malas hendak meninggalkan meja makan, ada juga yang menyembunyikan puntung rokok di sebalik lengan atau di bawah meja bagi mengelakkan diri diperhatikan pelanggan lain.

Keadaan ini jelas menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia sebenarnya tahu kewujudan peraturan ini, namun tidak dipastikan sama ada kesedaran golongan perokok tegar ini masih di tahap rendah, atau sengaja buat-buat lupa dengan peraturan tersebut.

Tapi yang jelasnya, ini disebabkan tiada lagi penguatkuasaan tegas daripada pihak berkuasa, bahkan pemilik kedai makan pun ambil ringan langsung tidak menegur.

Amalan buruk perokok ini bukan sahaja menyebabkan kesan sampingan kepada diri sendiri, malah kajian menunjukkan orang sekeliling atau pengguna sekunder juga berisiko mendapat pelbagai penyakit akibat menyedut asap rokok.

Pendedahan terhadap asap rokok juga dapat menyebabkan kanser paru-paru kepada orang yang tidak merokok serta risiko menghidap strok.

Wanita dan kanak-kanak adalah mangsa utama kepada pendedahan asap rokok terutama di tempat awam.

Kesan sampingan sering terjadi ialah serangan asma yang kerap dan teruk.

Asap rokok juga meningkatkan prevalen jangkitan saluran nafas, kelahiran bayi pramatang dan kematian mengejut pada bayi dan kanak-kanak.

Bagi penulis, apabila sudah tahu memiliki atau penghisap tegar ‘produk beracun’ itu, alangkah baiknya mereka mengambil sedikit rasa tanggungjawab terhadap keluarga atau orang sekeliling dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

Peraturan larangan merokok di tempat makan masih lagi berkuat kuasa.

Belum dengar lagi sebarang pengumuman bahawa larangan tersebut ditarik semula.

Justeru, adalah lebih baik sekiranya KKM kembali agresif turun padang seperti awal-awal peraturan tersebut berkuat kuasa.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Perak