PEKAN - Dua lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir selepas kenderaan dinaiki dihanyutkan arus dalam kejadian di Kampung Sija di sini pada petang Khamis.
Kedua-dua lelaki tersebut berjaya diselamatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu yang tiba di lokasi selepas dihubungi berhubung kejadian.
Ketua BBP Peramu, Wan Syamsul Effendi Wan Mahmud berkata, mangsa terlebih dahulu berjaya menyelamatkan diri apabila sempat keluar dari kenderaan yang dihanyutkan.
Menurutnya, pihak bomba menerima maklumat kejadian jam 5.08 minit sebelum sembilan anggota BBP Peramu ke lokasi untuk bantuan menyelamat.
"Ketika tiba di lokasi mendapati kedua-dua mangsa terperangkap dalam banjir setelah keluar dari kenderaan yang dihanyutkan.
"Mangsa diselamatkan apabila berjaya dibawa keluar dari kawasan banjir ke tempat selamat menggunakan bot," katanya.
Wan Syamsul Effendi berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mangsa juga dibantu dibawa ke Balai Polis Pekan bagi tujuan membuat laporan polis," katanya.