KULAI - Penglibatan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam membangunkan usahawan tempatan membuka peluang kepada Rahiza Rabu, 59, membina perniagaan makanan dalam tempoh singkat.
Ketika ditemui Sinar Harian di Felda Bukit Ramun, di sini pada Rabu, ibu kepada tiga anak itu menyatakan RISDA telah membantunya menyediakan bantuan kewangan RM10,000 dalam bentuk peralatan dan RM10,000 dalam bentuk pembungkusan dan pelabelan.
"Saya berterima kasih kepada RISDA yang menyediakan peluang besar kepada saya membangunkan produk makanan kerepek jenama MAROMARO Agrobiz selain membantu membuka pasaran yang lebih luas.
"Insentif RISDA ini amat membantu MAROMARO AgroBiz untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.
Tambah Rahiza, MAROMARO Agrobiz menawarkan pelbagai jenis produk makanan kerepek selain pisang iaitu ubi pedas, peria katak, keledek, keladi, pisang salai dan tapai.
Menurutnya, produk kerepek tersebut dijual dalam pek 120 gram dengan harga RM5 atau secara pukal setengah kilogram (RM17) atau empat kilogram (RM125) sekiranya dibeli secara terus di pasar raya dan stesen minyak Petronas, BHPetrol, Petron dan Shell.
Malah, MAROMARO Agrobiz sedang merancang menembusi pasaran Eropah dan Asia Barat dengan bantuan serta bimbingan daripada RISDA.
Mengulas lanjut mengenai perniagaannya di peringkat awal, Rahiza memberitahu dia pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mengekalkan perniagaan selain membangunkan produk yang baik.
"Saya ambil masa sekitar dua hingga tiga bulan untuk mendapatkan kualiti dan formula terbaik. Saya mahu menghasilkan produk yang betul-betul dapat meyakinkan orang ramai," katanya yang turut menyifatkan kualiti bahan mentah seperti pisang yang baik perlu diambil kira.
Sementara tu, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib merangkap Ahli Parlimen Tenggara memberitahu, kejayaan Rahiza boleh dijadikan contoh kepada usahawan kecil dan sederhana lain yang ingin menceburi perusahaan makanan.
"RISDA sentiasa menggalakkan lebih ramai terlibat dalam bidang keusahawanan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang lain.
"Banyak yang boleh diceburi berkaitan dengan bidang pertanian merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan serta perniagaan tani," ujarnya yang mengadakan lawatan ke Felda Bukit Ramun, baru-baru ini.