KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) diharapkan mengkaji semula cadangan penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Muadzam Shah, Rompin kerana ia memberi implikasi kurang baik khususnya kepada kelangsungan pendidikan anak-anak muda dan pembangunan ekonomi setempat.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, pihak Uniten dan TNB boleh melipatgandakan promosi khususnya program profesional huffaz yang kini antara program yang sangat mendapat sambutan di kalangan anak muda dan ibu bapa.
Ahmad Azlan
"Muadzam Shah sinonim dengan gelaran hab pendidikan Pahang kerana terdapatnya Uniten, politeknik, kolej vokasional, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan beberapa sekolah harian di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Ia juga telah menggalakkan perkembangan ekonomi kepada penduduk setempat khususnya buat penduduk di DUN (Dewan Undangan Negeri) Muadzam Shah secara khususnya dan Parlimen Rompin secara amnya," ujarnya.