Representasi Azlan Man kaji 10 tuduhan ditolak

Iklan
Azlan (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen pada Jumaat bagi prosiding keputusan representasi kes mengemukakan tuntutan palsu dan menerima hasil aktiviti haram.

KUALA LUMPUR – Peguam Negara menolak representasi bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man bagi mengkaji lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu mencecah RM1.18 juta dan lima tuduhan menerima hasil aktiviti haram mencecah RM1.06 juta, di Mahkamah Sesyen di sini pada November lalu.

Semasa prosiding di hadapan Hakim, Azura Alwi, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan pada Jumaat untuk keputusan representasi berkenaan.

Iklan
Iklan

"Susulan itu, kami ingin memaklumkan bahawa, mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 18 dan 19 Julai serta beberapa tarikh lain pada Ogos depan,” katanya.

Azura Alwi kemudiannya menetapkan 14 Jun ini untuk pengurusan kes bagi mengemaskini dokumen berkaitan fakta, yang boleh dipersetujui kedua-dua pihak termasuk pernyataan bertulis saksi.

Iklan

Sebelum ini, perbicaraan kes ini dijadualkan selama sembilan hari, bermula 18 dan 19 Julai yang kemudian bersambung pada 1, 2, 19, 20, 21, 22 dan 23 Ogos dengan seramai 20 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan.

Pada 9 November tahun lalu, bekas pemimpin UMNO ini menghantar representasi untuk mengkaji tuduhan 10 kes jenayah tersebut.

Iklan

Pada prosiding ini, Azlan yang hadir dengan memakai kemeja diwakili peguam bela Muhammad Adam Burhanudeen.

Pada 10 April 2023, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kemudahan cuti seberang laut di London, mencecah lebih RM1.18 juta.

Dokumen tersebut didakwa digunakan bagi tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut yang diberikan kepada Menteri Besar Perlis, sedangkan tiada perjalanan yang dilakukan tertuduh.

Jumlah tuntutan dalam tempoh lima tahun mulai 2013 itu ialah RM230,230, RM216,260, RM241,295.40, RM253,195.40 dan RM244,079.30 bagi setiap perjalanan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini antara 2013 hingga 2017.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu jika berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Dua hari kemudian, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima lagi pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan wakil Aidil Travel, Abdul Rahim Halim.

Kesemua wang itu diterima tertuduh melalui tiga cek Maybank dan satu cek CIMB yang dibayar ke dua bank miliknya, serta secara tunai daripada Abdul Rahim.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, di sini pada 19 Februari 2014 hingga Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.