UMPSA buka akses pendidikan fleksibel untuk pekerja gig

Iklan
Yuserrie (kiri) dan Ebi Azly bertukar dokumen MoU yang ditandatangani dalam majlis yang berlangsung di Pekan pada Khamis.

PEKAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Grab Malaysia mengukuhkan kerjasama dalam menyediakan akses pendidikan dan latihan kepada golongan pekerja gig di negara ini.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, inisiatif itu mampu meningkatkan kelayakan akademik dan kompetensi golongan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerjasama itu juga sebagai langkah proaktif UMPSA dalam menyokong dan meningkatkan keupayaan golongan pekerja gig sejajar dengan evolusi landskap pekerjaan semasa yang semakin berubah dan mencabar.

"Langkah ini memberi peluang kepada golongan pekerja yang aktif dalam ekonomi gig mengikuti program latihan dan pembangunan yang disediakan UMPSA melalui kerjasama anak syarikat UMPSA, UMPSA Advanced," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Majlis menandatangani dan pertukaran MoU antara UMPSA dan Grab Malaysia diadakan di sini pada Khamis.

UMPSA diwakili Yuserrie manakala Grab diwakili Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Polisinya, Ebi Azly Abdullah.

Iklan

"Berdasarkan pemerhatian, ekonomi tidak formal memainkan peranan penting sebagai sumber pendapatan isi rumah kini.

"Peluang bekerja dan belajar secara fleksibel membuka peluang kepada golongan itu mencari pendapatan selain membuka jalan bagi akreditasi pendidikan yang bermanfaat untuk peluang pekerjaan lebih baik," ujarnya.

Beliau berkata, keperluan kepada peningkatan kemahiran dalam kalangan golongan pekerja gig semakin ditekankan di negara ini dan melalui kerjasama UMPSA dan Grab diharapkan dapat memberi impak yang positif kepada perkembangan ekosistem ekonomi gig dalam negara.

"UMPSA dan anak syarikat, UMPSA Advanced akan berganding bahu untuk menawarkan kursus yang lebih fleksibel dan latihan berasaskan kompetensi kepada rakan kongsi Grab.

"Melalui kursus dan latihan yang bakal ditawarkan, golongan pekerja gig ini turut mendapat akses kepada kursus dan latihan yang lebih fleksibel.

"Melalui penawaran kursus dan latihan dalam bentuk kelayakan mikro, sesuai bagi mereka yang tiada kelapangan mengikuti kursus atau latihan secara konvensional," katanya.

Tambah beliau lagi, dengan kelayakan dan kompetensi diperoleh, golongan pekerja gig berpeluang mendapatkan pekerjaan lebih baik bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi.

"Ia juga dijangkakan dapat memperkasakan kebolehpasaran mereka dan memberi sokongan kepada pertumbuhan pesat industri gig di Malaysia.

"Kerjasama yang terjalin antara UMPSA dan Grab dapat membuka peluang jalinan kerjasama syarikat multinasional dan kepakaran universiti tempatan ke peringkat antarabangsa," ujarnya.

Menurutnya lagi, hubungan baik antara universiti dan industri boleh melonjak transformasi pendidikan ke arah lebih fleksibel sejajar dengan perubahan zaman, menangani jurang sosio ekonomi, membina masyarakat yang lebih berdaya saing, sekaligus menyokong pembangunan negara madani.