JOHOR BAHRU - Seramai 1,300 sukarelawan dari kesemua Bahagian UMNO di negeri Johor akan digerakkan bagi menjayakan misi bantuan pascabanjir pada Sabtu dan Ahad ini.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros, misi bantuan ini akan memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan serta lain-lain bentuk bantuan sukarelawan berkaitan pascabanjir.
"Beberapa kawasan parlimen di negeri ini teruk dilanda musibah banjir kali ini seperti di Kluang, Kota Tinggi, Tenggara dan Tebrau.
"Sukarelawan-sukarelawan melibatkan jentera Pemuda UMNO dari setiap Bahagian akan mula digerakkan pada Sabtu dan Ahad ini dan difahamkan, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhamad Akmal Saleh, akan turut serta pada Ahad, 14 Januari 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu Noor Azleen berkata, Pemuda UMNO Johor turut membantu mengedarkan barang-barang keperluan asas seperti pakaian, bantal, tilam, selimut bakul makanan dan kit kebersihan.
Katanya, kesemua barangan berkenaan diterima daripada pelbagai pihak bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
"Antara pihak tersebut termasuklah Kementerian Pertahanan, badan bukan kerajaan (NGO), dan sumbangan daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi awam (IPTA),” katanya.