Maraknya pembunuhan tanda akhir zaman

Iklan
ANTARA sebab tercetusnya pembunuhan adalah tersebarnya kebodohan dan hilangnya ilmu. -Gambar hiasan/ Gambar kecil: DR KHAIRUL ASYRAF

Islam haramkan sebarang bentuk kemudaratan, kezaliman, penganiayaan dan ‘ambil’ nyawa orang lain tanpa hak

KISAH tentang pembunuhan acap kali bertebaran akhir-akhir ini. Tidak cukup dengan tradegi berdarah yang meragut nyawa hampir 22,000 nyawa (setakat 1 Januari 2024) akibat serangan tentera Zionis Israel di Palestin, kini ia seakan menular.

Lebih-lebih lagi apabila melibatkan rakyat tempatan. Sebagai manusia berperikemanusiaan, betapa pilu dan luluhnya hati kita saat dikhabarkan dengan cerita menyayat hati kisah.

Iklan
Iklan

Ketahuilah bahawa peristiwa pembunuhan merupakan antara isyarat yang semakin jelas kelihatan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: "Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: ‘al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.‘" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hakikat yang dapat dilihat ketika ini adalah peristiwa kehilangan anak autistik, arwah adik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang akhirnya ditemukan maut akibat dibunuh.

Iklan

Ia disusuli dengan berita pembunuhan sepasang suami isteri di Kampung Penchala, Kuala Lumpur dipercayai ditikam oleh anaknya sendiri bulan lalu.

Maka benarlah sabda Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: "Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-NYA, dunia ini tidak akan musnah sehingga manusia saling berbunuhan antara satu sama lain tanpa mengetahui apa penyebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak mengetahui apa penyebab dia dibunuh." Maka mereka bertanya kepada Baginda:"Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Baginda menjawab:"Itulah al-Hajr, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka." (Hadis Riwayat al-Albani)

Iklan

MENJELANG kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj iaitu pembunuhan sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasululullah SAW.

Jika dihayati, pasti hadir dalam benak fikiran kita tentang persoalan yang sukar dirungkaikan jawapannya. Mengapakah anak sekecil itu dibunuh? Di manakah letaknya sifat perikemanusiaan si pelaku? Mengapakah ibu bapa yang sudah tua turut menjadi mangsa?

Dalam satu riwayat lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:"Apabila hampirnya berlaku kiamat, akan terjadi hari-hari berlakunya kejahilan, diangkat daripadanya ilmu dan berleluasanya al-Harj. Al-Harj adalah pembunuhan." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kejahilan vs pembunuhan

Sesungguhnya, terdapat hubung kait antara kejahilan dan pembunuhan yang berlaku kebelakangan ini. Sudah pasti kita dapat menilai dan menebak, si pelaku ketika melakukan pembunuhan berada pada tahap keilmuan yang sangat rendah.

Walaupun hakikat Islam sedang berkembang pesat, namun pemahaman dan penghayatannya lama-kelamaan semakin menipis dalam kalangan Muslim sehingga mengundang pelbagai tohmahan serta kejahilan dalam diri masyarakat.

Antara faktor yang mencetus kejahilan dalam masyarakat adalah:

1. Kualiti sistem pendidikan memainkan peranan utama dalam perkembangan kecerdasan manusia.

Sistem pendidikan yang baik dapat meningkatkan keterampilan kognitif dan pengetahuan. Namun, dalam beberapa situasi, perubahan dalam aturan tersebut menyebabkan masyarakat sudah tidak peduli tentang kepentingan menuntut ilmu sehingga mengetepikan hal ehwal berkaitan dengannya.

Impaknya, manusia sukar untuk membezakan mana yang baik dan buruk. Dalam erti kata lain, kecelaruan minda berlaku disebabkan kurang penekanan terhadap keilmuan.

Firman ALLAH SWT: "ALLAH meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENDALAM PENGETAHUAN-NYA mengenai apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

2. Meskipun teknologi memberikan akses yang cepat dan pantas, tetapi sekiranya terlalu bergantung kepadanya mengakibatkan pencapaian dalam ilmu semakin menurun.

Hal itu berkait rapat dengan menuntut ilmu perlu berguru, bukan semata-mata berpandukan informasi dan teknologi. Kemudahan sedia ada itu menyebabkan akses kepada video-video keganasan mudah tersebar dan menjadi salah satu faktor berlakunya pembunuhan.

3. Gaya hidup tidak sihat, termasuk kurangnya aktiviti fizikal, pola tidur yang buruk dan membiasakan makan sajian tidak sihat, sekali gus menjadi faktor intektual menurun.

Apabila minda bercelaru dan pemikiran tidak stabil, ia mendorong seseorang bertindak di luar kawalan sehingga sanggup melakukan perkara ‘lari‘ daripada batasan waras manusia.

WALAUPUN teknologi memberikan akses yang cepat dan pantas, tetapi sekiranya terlalu bergantung kepadanya mengakibatkan pencapaian dalam ilmu semakin menurun.

Kepentingan ibadah

Rasulullah SAW bersabda:"Ibadah pada saat terjadinya al-Harj (pembunuhan) adalah seperti orang yang hijrah kepadaku." (Hadis Riwayat Muslim)

Ungkapan hadis itu jelas memberitahu, nilai ibadah pada zaman banyaknya berlaku pembunuhan sama dengan nilai hijrah kepada Rasulullah SAW.

Disebabkan itulah Islam begitu mengharamkan sebarang bentuk kemudaratan, kezaliman, penganiayaan dan pembunuhan ke atas orang lain tanpa hak. Malah, ia termasuk dalam perbuatan dosa besar dan dikenakan hukuman qisas iaitu bunuh balas jika sah disabitkan pembunuhan dengan sengaja.

Apa jua alasannya, membunuh nyawa seseorang tanpa hak tetap diharamkan oleh ALLAH SWT.

Ingatlah, orang Musyrikin Makkah dahulu ada yang membunuh anak dek kerana kepercayaan karut iaitu ditimpa malang anak masing-masing.

Bahkan, ada juga yang membunuh cahaya mata sendiri kerana bimbang kesempitan rezeki dalam kehidupan. Oleh itu, kembalikan kepada fitrah Islam iaitu agama yang membawa kesejahteraan kepada semua.

***Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia