JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bersiap siaga dengan penyediaan pam di setiap daerah yang terlibat berikutan amaran cuaca buruk dan air pasang besar.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, air pasang besar diramalkan berlaku dan tertumpu di kawasan Johor Bahru bermula hari ini hingga Rabu depan.
"Air pasang besar dijangka paling tinggi pada Ahad dan Isnin ini iaitu 3.7 meter di stesen Johor Bahru.
"Justeru, saya menyeru dan mengingatkan semua Bangsa Johor untuk terus peka dan mendengar arahan pihak berkuasa serta sentiasa bersiap siaga menghadapi banjir demi keselamatan diri dan keluarga," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Pada masa sama, Onn Hafiz turut mengingatkan rakyat negeri ini agar sentiasa berwaspada susulan Pejabat Meteorologi Johor (MET Johor) mengeluarkan ramalan hujan lebat berterusan di beberapa daerah.
"Saya telah menerima laporan daripada MET Johor bahawa hujan lebat berterusan pada tahap buruk hingga 14 Jan (Ahad) ini melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi."Amaran hujan berterusan pada tahap waspada pula diramalkan berlaku di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan melindungi kita semua daripada segala bencana," tambahnya.
Setakat 11 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Johor sebanyak 4,650 orang yang ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara di enam daerah. - Bernama.