"Aman, bangkitlah... tak payah minta dari sesiapa... Bangkitlah, kita kawan-kawan akan bantu kamu..."
Itu pesanan daripada penerbit dan pengarah, Baldev Singh, 61, terhadap pelakon Aman Graseka susulan timbul dakwaan pelakon berusia 56 tahun itu hidup susah di Kedah sehingga terpaksa meminta daripada kawan-kawan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Malah, Baldev yang bekerjasama dengan Aman menerusi filem Jiwa 8 Belas pada tahun 2018 sedia membantu aktor itu sekiranya benar dia berdepan masalah kewangan.
"Saya baru dapat tahu dia menghadapi masalah dan ada menghubungi dia tetapi tidak ada sebarang jawapan.
"Kalau betul dia berdepan dengan masalah kewangan atau tiada kerja, saya sedia membantu.
"Mungkin kalau bukan dalam bentuk wang ringgit, saya boleh bantu sediakan peluang pekerjaan untuk dia di Kedah.
"Saya boleh minta kawan-kawan di sana untuk bantu dia," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas di TGV 1 Utama pada Khamis.
Ditanya komitmen pemilik nama sebenar Aman Shah Baharom Shah itu ketika berada di set penggambaran sebelum ini, Baldev berkata, aktor itu seorang yang komited dalam bekerja.
"Saya juga sudah selesaikan bayaran filem ini.
"Selepas penggambaran, saya tidak berhubung dengan dia, kami bawa haluan masing-masing.
"Sebab itu saya terkejut apabila mendapat tahu dia mengalami kesusahan sekarang," jelasnya.
Difahamkan Aman juga sepatutnya hadir ke majlis tayangan perdana terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu bersama pelakon lain, bagaimanapun kelibatnya tidak kelihatan.
Filem Jiwa 8 Belas yang turut dibintangi A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Shah Hazvee dan Sophia Albarakbah, mula menjengah pawagam pada 18 Januari ini.