KUALA TERENGGANU - Kebanyakan pengusaha premis makanan di pusat bandar Kuala Terengganu didapati menutup operasi pada Jumaat.
Ia susulan arahan pihak berkuasa supaya menutup operasi perniagaan mereka selama dua jam bermula jam 12.30 tengah hari yang berkuat kuasa hari ini.
"Apabila ada arahan baharu ini, saya terpaksa menutup operasi pada waktu yang ditetapkan dan meminta pelanggan untuk datang semula jam 2.30 petang," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, sebelum ini kedai makannya beroperasi setiap Jumaat melibatkan semua pekerja wanita.
Tambahnya, semua pekerja lelaki akan pergi ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat manakala pekerja wanita berada di restoran untuk melayan pelanggan.
Jelas Muslim, dia bercadang untuk mengemukakan permohonan khas kepada MBKT bagi membolehkan kedai makannya beroperasi pada waktu tersebut dengan hanya melibatkan pekerja wanita.
Menurutnya, sebelum ini hanya peniaga perempuan yang menjaga premis berkenaan pada tengah hari Jumaat manakala semua pekerja lelaki diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat.
"Selama ni di premis ini hanya pekerja perempuan sahaja yang bertugas pada tengah hari Jumaat sebab kita dah mohon dengan pihak MBKT (Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu) kelonggaran bagi pekerja wanita.
Sementara itu, kakitangan kedai makan, Sulaiman Amran, 25, berkata, kebiasaan pelanggan akan menyerbu kedai makan tersebut setiap Jumaat kerana tidak banyak premis makanan yang beroperasi pada hari berkenaan.
"Kami biasa terima ramai pelanggan yang datang untuk membeli makanan tengah hari. Tapi selepas MBKT menguatkuasakan penutupan selama dua jam, kita akur.
"Kita juga harap pelanggan akan memahami peraturan baharu yang ditetapkan itu dan akan kembali ke kedai makan ini jam 2.30 petang," katanya.
Bagaimanapun, tinjauan mendapati beberapa pelanggan yang ditemui terutama dari luar Terengganu mengaku tidak mengetahui peraturan baharu yang dikuatkuasakan MBKT itu.
Seorang pengunjung dari Gombak, Kuala Lumpur, Fatin Najihah Abdul Razak, 29, berkata, dia tidak menyangka semua premis kedai makan di Kuala Terengganu tidak beroperasi selama dua jam pada Jumaat.
"Saya tiba di Kuala Terengganu semalam (Khamis). Kebetulan sekarang ni kami mahu cari makanan untuk makan tengah hari.
"Tak sangka pula semua kedai makan tutup. Lagipun kami tak ada pengalaman ke Terengganu sebelum ini. Yang ini kali pertama. Lepas ni kami faham lah yang kedai makan tak beroperasi pada tengah hari setiap Jumaat. Jadi kami terpaksa tunggu sehingga jam 2.30 petang nanti untuk makan nasi.
"Sebenarnya kami dah ronda-ronda sekitar Batu Buruk untuk beli makanan yang dijual penjaja tepi jalan. Malangnya tiada yang jual nasi. Jadi kami beli untuk alas perut dulu," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nazihah Che Zulkifli, 30, berkata, kerajaan diharap dapat meneliti dengan menambah baik peraturan tersebut bagi memberi kelonggaran kepada golongan wanita.
"Bagi pekerja seperti saya agak sukar untuk mendapatkan makanan waktu tengah hari apabila semua premis makanan ditutup memandangkan waktu rehat sebelah tengah hari sahaja.
"Jadi, agak tidak adil kerana keutamaan untuk ke masjid hanya kepada golongan lelaki. Sebab itu kita harap ada sedikit kelonggaran buat wanita untuk membeli makanan," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan MBKT menguatkuasakan arahan penutupan semua premis perniagaan Muslim dan pasar raya di daerah ini bermula jam 12.30 tengahari sehingga 2.30 petang.
Bagaimanapun, Datuk Bandar, Rosli Latif berkata, kedai makan yang diuruskan pekerja wanita boleh beroperasi dalam tempoh itu tersebut dengan syarat perlu membuat permohonan khas kepada MBKT bagi mendapat kelulusan.