Gajah liar ceroboh kebun penduduk ditangkap

Iklan
Seekor gajah jantan liar yang mengganggu kebun milik penduduk berjaya ditangkap di Kampung Kalai, Batu Melintang di Jeli pada Khamis.

JELI - Seekor gajah jantan liar yang merosakkan kebun milik penduduk berjaya ditangkap di Kampung Kalai, Batu Melintang di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan itu susulan laporan yang diterima pada 3 Januari lalu.

Iklan
Iklan

"Seramai tujuh anggota dari Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan telah menjalankan pemantauan dan seterusnya berjaya menangkap haiwan liar itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Tangkapan gajah terbabit sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan kampung tersebut seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik gajah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut beliau, operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan pada masa terdekat dengan bantuan dua ekor gajah denak serta kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Ujarnya, tindakan bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan berkenaan telah dijalankan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun agar mengambil beberapa langkah-langkah mitigasi.

Iklan

Mohamad Hafid memberitahu, antaranya ialah memasang lampu LED Biru di laluan yang dikenal pasti, membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak samun serta membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG).

Katanya, orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri.

"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya