PETALING JAYA – Bagi memberi nilai tambah kepada premis makanan dan minuman (F&B), Astro memperkenalkan pakej pek baharu BIZone yang mampu memuaskan kehendak para pelanggan.
Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata, pek BIZone itu menawarkan lebih nilai berpandukan kandungan untuk semua premis makanan dan minuman pada harga yang menarik, tertakluk pada kepelbagaian jenis perniagaan dan kapasiti tempat duduk.
"Acara sukan utama seperti Liga Malaysia, Piala Dunia dan Liga Perdana Inggeris bukan sahaja meningkatkan kehadiran pelanggan baharu dan berulang, tetapi juga membolehkan mereka meluangkan lebih masa di premis F&B yang terlibat.
"Dengan 15 saluran sukan, 25 saluran bukan sukan dan lapan saluran percuma, Pek BIZone baharu ini ditawarkan pada harga yang adil bermula RM400 sebulan serta sesuai dengan semua jenis perniagaan F&B,” katanya ketika melancarkan pakej pek baharu BIZone di sebuah hotel, di sini pada Rabu.
Malah, untuk memudahkan urusan perniagaan kata Kam Leong, Astro turut memberi kontrak BIZone untuk tempoh jangka pendek selama 12 bulan berbanding pek lama selama 24 bulan.
Pada masa sama, pihaknya yakin pek baharu BIZone akan memberi impak positif kepada perniagaan F&B berdasarkan hasil tinjauan yang dilaksanakan oleh peneraju data, penyelidikan dan perkhidmatan konsultasi, Kantar.
Sementara itu, Pengurus Besar, Ketua Bahagian Tinjauan Negara Kantar Malaysia, Paromeeta Mathur Banerjee berkata, tinjauan tingkah laku pengguna Malaysia mengenai penggunaan di luar rumah mendapati, 95 peratus responden menyatakan mereka makan di luar setiap minggu sambil menonton televisyen.
Menurutnya, pada musim perlawanan bola sepak, pelanggan kedai makan bukan bar, bistro atau pub meningkat pada kadar 58 peratus.
"Sementara itu, 77 peratus pelanggan di restoran India manakala di restoran mamak (india muslim), responden menghabiskan masa dua kali ganda lebih lama sehingga dua jam ketika acara sukan disiarkan secara langsung.
"Tinjauan Kantar turut menunjukkan segmen hiburan terutamanya sukan siaran langsung boleh dipertimbangkan sebagai tawaran utama oleh mana-mana kedai F&B kerana itulah yang dikehendaki pelanggan,” jelas beliau.
Tambah Paromeeta, premis F&B yang menawarkan hiburan Astro mempunyai capaian yang tinggi terutamanya di kawasan Lembah Klang dengan anggaran capaian pelanggan unik melebihi 4.2 juta.