LANGKAH pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 terbantut apabila dia terpaksa melupakan saingan Terbuka India minggu depan susulan kecederaan belakang yang dialami dalam saingan pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 pada Rabu.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh memberitahu, Tze Yong mengalami koyak otot belakang dan memerlukan masa untuk pulih.
Beliau berkata, perkembangan terbaharu tersebut dimaklumkan oleh jurulatih perseorangan negara, Datuk Tey Seu Bock selepas pemain berusia 24 tahun itu menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) pada Jumaat.
"Saya diberitahu oleh Seu Bock bahawa Tze Yong baru sahaja melepasi pemeriksaan kesihatan dan didapati ada kecederaan belakang. Otot belakang koyak.
"Jadi buat masa ini keputusan yang dibuat adalah untuk keluarkan dia dari Terbuka India. Bagi Indonesia Masters keadannya akan terus dipantau," katanya ketika ditemui media di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat.
Pemain di ranking ke-15 dunia itu terpaksa menarik diri ketika berdepan lawan nombor 23 dunia dari Jepun, Koki Watanabe dalam perlawanan pusingan pertama di Axiata Arena, pada Rabu.
Tze Yong mengalami kecederaan belakang memaksanya menarik diri pada minit ke-13 permainan ketika ketinggalan 7-8 kepada lawan dari Negara Matahari Terbit tersebut.
Terbuka India dijadualkan bermula pada 16 hingga 21 Januari, manakala Indonesia Masters pula bermula 23 hingga 28 Januari.