SHAH ALAM - Seorang lelaki berkongsi beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan dia mengambil anak di taska menggunakan kereta terbang buatan Malaysia.
Gambar berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Gambar yang dimuat naik oleh Hairun Ashrie di Facebooknya mengagumkan netizen kerana suntingan gambar yang dilakukan seolah-olah sudah wujud kereta terbang di negara ini.
Bukan sahaja kemahiran menyunting gambar yang menjadi perbincangan di media sosial malah status yang dimuat naiknya juga membuat warga maya ketawa membacanya.
"Hari ni pergi ambil anak dekat taska 16 minit je memandangkan hanya dua tiga biji kereta saja kat atas ni. Memang abam (abang) puas hati la tak payah hadap jem.
"Cuma satu je, nak mendarat susah takut mendarat atas kereta orang dengan nak mengelak tiang elektrik lagi," tulisnya.
Perkongsian Hairun di Facebook kini tular di media sosial yang kini meraih 17,000 tanda suka dan dikongsi lebih 23,000 kali.
"Pening sekejap nak memikirkan dari tadi. Nak tanya, Wira saya boleh tak terbang macam ini. Hahaha," tulis Moyy JB di ruangan komen.
Daniel Bam pula menulis,"Tabik aku dengan 'skill editing' yang dibuat oleh lelaki ini. Terbaik seolah-olah macam betul-betul kereta itu terbang. Rasa macam nak hantar Satria saya 'adjust' dengan abang supaya boleh terbang."