Pintu pesawat tercabut: Penumpang Alaska Airlines saman Boeing

Iklan
Panel untuk menempatkan pintu kecemasan tambahan tercabut ketika pesawat berada di ruang udara Oregon, Portland. Foto Reuters

SEATTLE (Washington) - Seramai enam penumpang pesawat Alaska Airlines penerbangan 1282 bertindak menyaman Boeing selepas panel untuk menempatkan pintu kecemasan tambahan jika perlu tercabut ketika pesawat berada di ruang udara Oregon, Portland pada Jumaat lepas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Enam penumpang dan ahli keluarga seorang daripada penumpang memfailkan tuntutan pada Khamis di Mahkamah Tinggi King County di Seattle, menuntut Boeing membayar pampasan kepada mereka dan 165 penumpang lain bagi kecederaan yang dialami semasa insiden itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Alaska Airlines tidak dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan mahkamah.

Seorang penumpang yang mengemukakan tuntutan mahkamah berkenaan mendakwa kepalanya terhentak beberapa kali semasa kejadian itu hingga mengakibatkan gegaran, kecederaan tisu lembut pada leher dan belakang serta pendarahan di telinga. Dia juga mendakwa topeng oksigen tidak berfungsi apabila kabin hilang tekanan selepas panel pintu itu tercabut.

Iklan

Dua penumpang lagi mendakwa mereka mengalami kesukaran bernafas.

Seorang penumpang lain berkata, dia mengalami sawan akibat tertekan daripada kejadian itu walaupun selepas pesawat itu berjaya mendarat.

Iklan

"Meskipun semua penumpang bersyukur bahawa anak kapal berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat, pengalaman ngeri ini telah menyebabkan kesan ekonomi, fizikal dan emosi yang berterusan kepada pelanggan kami dan merupakan satu lagi tanda bahawa pesawat siri 737-MAX bermasalah," menurut kenyataan peguam Daniel Laurence dari firma undang-undang Stritmatter Kessler Koehler Moore pada Khamis.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) telah mengarahkan operasi pesawat model MAX dihentikan pada Sabtu sehingga pemeriksaan lanjut dilakukan.

Bagaimanapun, Boeing enggan mengulas mengenai tuntutan mahkamah pada Khamis.

Syarikat itu berkata dalam satu kenyataan awal minggu ini bahawa pihaknya menyokong keputusan FAA untuk menghentikan operasi 737 MAX 9 dan bahawa ia 'komited untuk memastikan setiap pesawat Boeing memenuhi spesifikasi reka bentuk dan piawaian keselamatan dan kualiti tertinggi'.

Plaintif menuntut pampasan berkaitan rawatan kesihatan dan kecederaan psikologi, kos pembatalan rancangan perjalanan dan pekerjaan termasuk barangan peribadi yang hilang. - Bernama

-- BERNAMA-dpa

TAG: Alaska, syarikat penerbangan, penumpang Boeing, tuntutan mahkamah