PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan pembebasan ahli perniagaan, Noor Jan Tuah daripada empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka pada Disember 2013.
Rayuan terakhir pihak pendakwaan selaku perayu terhadap pembebasan Noor Jan, 62, ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hadhariah Syed Ismail.
Hakim Yaacob, yang mengetuai panel itu berkata, tiada merit dalam rayuan perayu untuk mahkamah mencampuri keputusan dibuat oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Melaka yang melepaskan dan membebaskan responden (Noor Jan) daripada kesemua pertuduhan berkenaan.
"Oleh itu, rayuan pihak pendakwaan ditolak," kata Hakim Yaacob yang turut berterima kasih kepada pihak pendakwaan dan pembelaan yang berhujah pada hari ini.
Terdahulu, peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Noor Jan berhujah bahawa tiada asas untuk pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan dua mahkamah sebelum ini yang melepaskan dan membebaskan anak guamnya.
"Pegawai penyiasat di dalam kes ini telah mengaku bahawa siasatan gagal dilakukan berkenaan kesahihan laman Facebook yang menyebabkan laporan terhadap anak guam dibuat.
"Tanggapan dua orang awam yang membaca Facebook itu seterusnya menyebabkan laporan dibuat terhadap anak guam seolah-olah memandai menuding jari kepadanya (Noor Jan) dengan mengatakan dia adalah 'Sultan Melaka' sedangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysian tidak berjaya mengenal pasti pemilik FB dan gagal mengaitkan anak guam terlibat dengan laman sosial itu," katanya.
Peguam itu berkata, saksi yang tampil ke mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan, turut menyatakan bahawa Noor Jan bukan Sultan Melaka.
Pada 10 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Melaka mengekalkan pelepasan dan pembebasan Noor Jan daripada kesemua pertuduhan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 3 Julai 2018 berhubung pembebasannya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Sultan Melaka' kekal tidak bersalah
Mengikut keempat-empat pertuduhan, Noor Jan dituduh menipu Zaamat Md Idris, 68, Mokhtar Md Yusof, 59, Ahmad Zainudin Abdul Hamid, 66, dan Hazizi Ikhwan Zaamat, 37, dengan cara samaran supaya keempat-empat mangsa mempercayai tertuduh ialah Sultan Melaka dengan membuat majlis istiadat penyerahan surat pelantikan sebagai Sultan Melaka sedangkan itu bukan identiti sebenar tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah, dekat sini, pada 10 malam, 28 Disember 2013, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Noor Jan ketika ditemui pemberita menzahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini yang memihak kepadanya. - Bernama