KHIDMAT penyampai segmen Suria Petang di stesen radio Suria FM, Tyzo Xander secara rasmi berakhir hari ini.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), keputusan yang dibuat merupakan langkah Suria FM dalam merangka strategi dan perancangan baharu untuk menghasilkan produk yang lebih menarik serta segar bagi tahun 2024.
"Suria FM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tyzo di atas kerjasama yang diberikan sepanjang bersama Suria.
"Jalinan kerjasama Suria FM bersama Tyzo merupakan satu tempoh kerjasama baik.
"Kami telah pun merangka strategi dan perancangan baharu bagi tahun 2024 dan seterusnya untuk memastikan jenama Suria FM kekal relevan dan terus memenuhi kehendak serta kepuasan pendengar.
"Perkembangan selanjutnya berkenaan program dan strategi Suria FM akan diumumkan dalam masa terdekat," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah DJ Lin, Suria FM turut mendoakan kejayaan Tyzo dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.
"Suria menyokong dan percaya serta mendoakan Tyzo akan terus berjaya dalam bidang berkaitan atau bidang lain yang diceburi.
"Saya berharap semua pencinta radio dan pendengar setia Suria terus menyokong Suria FM," akhirinya.