SHAH ALAM - Bidang kuasa kerajaan negeri akan menjadi terhad sekiranya kerajaan mengadakan pilihan raya untuk memilih anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pensyarah di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, satu mekanisme yang memberikan autonomi kepada anggota majlis untuk bertindak perlu diwujudkan jika pilihan raya itu dilaksanakan.
"Bila kita buat pilihan raya PBT ini maknanya rakyat memilih anggota majlis dan mengharapkan mereka ini mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tujunya sendiri.
"Tak guna kalau kita laksana pilihan raya tapi anggota majlis masih terikat, maksudnya kita perlu wujudkan mekanisme yang mana kerajaan negeri terpaksa mengendurkan kuasa dan mereka tidak lagi boleh campur tangan kerana sudah dipilih oleh rakyat.
"Kesannya, bidang kuasa ini menjadi sangat sedikit malah yang tinggal hanya berkaitan tanah dan hal ehwal agama Islam kerana paling besar kuasanya ialah kerajaan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu program Di Sebalik Isu bersama FY yang bertajuk Pilihan Raya PBT di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Program itu dihos Finaz Yunus dan turut menampilkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Sinar Harian pada 17 Disember lalu melaporkan, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya PBT di bandar raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Tambah Muhammad Fathi, pelaksanaan pilihan raya itu juga akan membuka ruang persaingan antara ahli-ahli politik untuk mendapatkan jawatan tersebut.
"Ini kerana, kebanyakan calon yang akan berdiri sendiri untuk bertanding atau bebas kebiasaannya di Malaysia ini sukar bertahan lama.
"Sekarang kebanyakan Datuk Bandar terdiri daripada mereka yang datang dari pentadbiran awam.
"Adakah bila kita letakkan Datuk bandar dari parti politik, itu satu jaminan bahawa dia akan telus dan berintegriti berbanding dengan penjawat awam itu tadi?
"Kes rasuah yang berlaku sekarang, kebanyakan yang didakwa adalah ahli politik dan dalam rekod, berapa orang ahli majlis dan Datuk Bandar yang pernah didakwa kerana penyelewengan? Ini adalah fakta,” ujarnya.
Jelas Muhammad Fathi, pilihan raya PBT bukan satu jaminan bahawa sesuatu pentadbiran itu akan semakin licin.