DBKL arah pintu jeriji halang laluan pejalan kaki dicabut

Iklan
Pintu jeriji yang dipasang pada laluan pejalan kaki unit.Foto: gambar tular.

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan pengurusan Flat Wangsa Maju Seksyen 2 mengambil tindakan berhubung aduan pemasangan pintu jeriji yang menghalang laluan pejalan kaki.

DBKL menerusi kenyataan berkata, surat arahan tersebut dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan DBKL melalui Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COBKL) pada Selasa.

Iklan
Iklan

"COBKL telah mengeluarkan surat kepada pengurusan kediaman supaya mengambil tindakan kepada pemilik petak agar mengembalikan semula pengubahsuaian itu kepada bentuk asal," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu menjelaskan, penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa pihak pengurusan bangunan selaras dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Iklan

"Di bawah seksyen 59 (1) Akta 757 telah menyatakan bahawa kewajipan pengurusan adalah menyenggara dan mengurus dengan sepatutnya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama, dan menjaganya dalam keadaan yang baik," ujar kenyataan itu.

Sebelum ini tular gambar keadaan laluan pejalan kaki dipasang jeriji dengan sekurang-kurangnya satu pintu dipasang di setiap tingkat pada bangunan empat tingkat itu.

Penduduk meluahkan kemarahan menerusi contengan dinding berhampiran pintu jeriji.

Iklan

Situasi tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk yang meluahkan kemarahan dengan menconteng dinding berhampiran, meminta pelaku untuk mencabut struktur tambahan itu.

Malah perkongsian masalah itu di media sosial turut menarik perhatian netizen yang melabel pelaku bersikap pentingkan diri selain sindiran duduk di flat tetapi selera seperti tinggal di kondominium.